Dr Maszlee kenal Pakcik Penjual Kitab tilik Mawi jadi orang termasyhur
2 min read
Ada beranggapan mimpi tidak boleh dipercayai.
Begitu juga kata-kata seseorang seolah menilik nasib individu itu akan berjaya dalam hidup. Pengalaman itu dilalui sendiri selebriti popular Mawi yang pernah melalui pelbagai mimpi pelik hingga sering menganggu hidupnya.
Jelasnya, dia pernah bertemu dengan seorang Pakcik Penjual Kitab di satu kawasan bundle di Johor Bahru yang memberitahunya dia akan menjadi orang termasyhur suatu hari nanti. Telahan itu benar-benar berlaku apabila Mawi diundi jutaan peminat untuk menjadi juara program realiti, Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) pada tahun 2005.
“Kehidupan saya berubah selepas saya keluar dari AF3 hingga saya diserbu ramai peminat. Dulu masa dalam AF3 saya percaya kata-kata produser bahawa semua peminat ini dibayar tetapi apabila di luar pun berlaku perkara sama, saya tertanya berapa ribu peminat semua ini dibayar untuk tunggu saya,” katanya pada Majlis Pelancaran Buku Mawi World yang diadakan di Street Mall opposite Bangi Gateway, Selangor, semalam.

Kisah Mawi berjumpa dengan Pakcik Penjual Kitab itu merupakan antara cerita peribadi dikongsi Mawi dalam buku autobiografi pertamanya iaitu Mawi Dalam Lautan Manusia.
Ujarnya pelbagai kisah benar yang pernah berlaku dalam hidupnya sebelum dan selepas menjadi artis popular dikongsikan dalam buku setebal 76 muka surat ini yang kini sudah dijual di pasaran sejak 14 Janurari lalu.
Pada majlis tersebut, Mawi turut mengundang Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik bersama rakan artis, Oja untuk berkongsi pandangan masing-masing mengenai buku tersebut. Sesi perkongsian itu yang berlangsung lebih sejam dikendalikan Penerbit Kafebuzz Media yang juga Editor Mawi Dalam Lautan Manusia, Elrafaei Sapi.

Ketika Mawi bercerita Pakcik Penjual Kitab yang ditemuinya itu, Dr Maszlee pula mengakui dia kenal dengan lelaki misteri tersebut dan pernah berjumpa di tempat sama. Meskipun Mawi sendiri tidak kenal sangat pakcik itu, dia masih tertanya-tanya bagaimana pakcik itu boleh berkata, Mawi akan jadi orang termasyhur suatu hari nanti.
Bekas Menteri Pendidikan itu turut tanda tanga pada sebuah buku Mawi Dalam Lautan Manusia sebagai simbolik pelancaran buku tersebut. Dr Maszlee juga mengucapkan penghargaan pada Mawi dan menggalakkan orang ramai khususnya peminat Mawi membeli buku autobiografi ini sebagai bahan bacaan dan koleksi peribadi.

Bagi peminat yang ingin membeli buku Mawi Dalam Lautan Manusia boleh singgah di gerai Rabak-Lit yang membuka jualan pelbagai buku sempena Pesta Buku Ramadan yang masih berlangsung hingga jam 8 malam ini (hari terakhir) di Street Mall opposite Bangi Gateway, Selangor.
Selain itu projek buku ini yang disokong oleh Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) menerusi MyCreative Ventures Sdn Bhd (MyCreative) masih boleh dibeli menerusi platform Shopee termasuk kedai buku terpilih di seluruh negara iaitu Hasani Bookstores, Smo Bookstores, Men Men, Borders Bookstores, Bookcafe (online), Pustaka Arris dan Shaidani pada harga RM45 senaskhah.

- Kafebuzz.my

