Diskusi ‘Heroku Mamat Khalid’
1 min read
Legasi seni ditinggalkan pengarah terkenal, Allahyarham Mamat Khalid sentiasa dirindui peminat.
Filem Man Laksa, Zombi Kampung Pisang, Kala Malam Bulan Mengambang dan Hantu Kak Limah antara karya arwah yang menghiburkan ramai penonton.
Pemergian beliau pada usia 58 tahun akibat serangan jantung pada 24 Oktober 2021 membawa berita sedih kepada peminat dan industri perfileman negara.
Seperti mana peminat tahu, kesungguhan Allahyarham dalam berkarya bukan saja menerusi filem tetapi usahanya membangunkan sebuah lokasi yang menjadi pertemuan dan perkembangan seni tempatan iaitu menerusi Sarang Art Hub.
Lokasi yang terletak di Tanjung Malim, Perak itu sebenarnya masih wujud dan aktif sehingga kini dalam membangunkan pelbagai agenda seni.
Terbaharu, legasi seni diteruskan anaknya, Amen Khalid yang menganjurkan pelbagai aktiviti seni. Bagi peminat yang mempunyai kelapangan boleh hadir menyaksikan program Lenggang Budaya @ Secangkir Kopi yang merupakan program bual bicara seni.
Kali ini, perbincangan membawa tajuk ‘Heroku Mamat Khalid’ diadakan pada 21 September ini dijangka bermula jam 5 petang ini. Selain Amen, sesi perbincangan juga disertai pengarah filem terkenal, Aziz M Osman.
- Kafebuzz.my


