Demi Anak, Manusia Sanggup Berjanji Dengan Syaitan
2 min read
Siapakah yang berani melakukan perjanjian dengan syaitan?
Ia mungkin dianggap mustahil tetapi akibat terdesak mahukan sesuatu akhirnya diri sendiri terperangkap.
Ini semua berlaku pada sepasang suami isteri yang mempunyai impian mahukan anak.

Kehidupan mereka seakan sepi setelah berumah tangga sekian lama. Tanpa anak, hubungan mereka berdepan ujian.
Kisah suami isteri ini menjadi plot menarik dipaparkan dalam filem terbaru, Anak Perjanjian Syaitan yang bakal ditayangkan di pawagam pada 24 Oktober ini.

Filem ini mengisahkan tentang Cikgu Zaidy lakonan Nadzmi Adhwa dan isterinya, Azlinda (Chacha Maembong) yang sudah tujuh tahun berkahwin tetapi tidak mempunyai anak.
Mereka berdua sentiasa tertekan oleh ibu Cikgu Zaidy iaitu Puan Rahmah (Jasmin Hamid), seorang janda kaya kematian suami yang terlalu ingin menimang cucu.

Cikgu Zaidy selalu didesak supaya berkahwin lain dan Azlinda sentiasa dicemuh oleh ibu mentuanya itu.
Kemudian Cikgu Zaidy memohon untuk berpindah tempat kerja supaya memperoleh ketenangan dan ditempatkan di sebuah kampung di daerah kelahiran arwah bapanya.

Mereka tinggal di rumah pusaka nenek Cikgu Zaidy. Rumah pusaka yang terpencil dan menyeramkan itu dijaga oleh tukang kebun, Pak Man (Shahrulnizam Noor) dan sudah tidak didiami selama lebih 5 tahun.
Sejak berpindah ke rumah tersebut, Azlinda sering menerima gangguan seperti suara bayi dan kanak-kanak bermain yang sering menghantuinya sehingga dia menjadi histeria dan pengsan.

Apabila dibawa ke klinik, Azlinda disahkan hamil oleh doktor.
Bagaimanapun, setelah disahkan hamil, Azlinda masih sering diganggu lagi, mimpi yang aneh dan perutnya yang tiba-tiba membesar secara luar biasa.

Sehingga suatu hari semasa diganggu, dia berlari keluar dan hampir dilanggar oleh jirannya yang ‘misteri’.
Apakah kesudahannya, jangan lupa menonton filem Anak Perjanjian Syaitan di pawagam seluruh negara pada 24 Oktober ini.
- Kafebuzz.my

