Debaran tunggu sekatan tambahan PKP 3.0, rakan artis cadang ‘full lockdown’
2 min read
Kelmarin adalah jumlah kes tertinggi COVID-19 berlaku dalam negara.
Jumlah kes baharu harian melebihi 6,000 termasuk semalam menunjukkan ia suatu yang amat serius dan membimbangkan.
Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN): Pengurusan COVID-19 pada petang semalam yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membincangkan secara mendalam situasi penularan jangkitan COVID-19.
“Mesyuarat meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan Malaysia berhubung status terkini kes COVID-19 termasuk kadar kebolehjangkitan, kapasiti kesihatan setiap negeri dan cadangan tindakan bagi mengawal penularan jangkitan COVID-19.
“Selain itu, Sidang Khas juga membicangkan status pelaksaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang sedang berkuat kuasa untuk tempoh empat minggu bermula 12 Mei 2021. Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi PKP 3.0 telah diperketatkan termasuk larangan rentas negeri dan daerah serta sekatan bagi aktiviti sosial, sukan dan rekreasi serta persidangan dan mesyuarat secara bersemuka,” katanya dalam satu kenyataan media dari Pejabat Perdana Menteri, semalam.

Kenyataan itu juga menyebut penularan dalam komuniti yang semakin meningkat dan kewujudan varian baharu yang lebih agresif dengan kadar kebolehjangkitan tinggi menyebabkan usaha untuk melandaikan lengkung jangkitan mengambil masa lebih panjang.
“Perincian mengenai sekatan tambahan akan diumumkan dalam sidang media Menteri Kanan Pertahanan pada hari 22 Mei 2021,” sambungnya.
Beberapa selebriti tempatan juga senada bersetuju dengan segelintir pandangan yang dilontarkan rakyat Malaysia mahu PKP sepenuhnya seperti mana sekatan dilakukan seperti pada awal tahun lalu dikuatkuasakan kembali demi menyelamatkan lebih ramai nyawa.

Produser, pelakon dan juga aktivis teater terkenal, Puan Sri Tiara Jacquelina menggesa Perdana Menteri dan Tan Sri Noor Hisham Abdullah (Ketua Pengarah Kesihatan) mengisytiharkan sekatan pergerakan penuh atau ‘full lockdown’ dilakukan sebagai usaha memastikan masyarakat negara ini selamat.
“Malaysia perlu melaksanakan ‘full lockdown’ sekarang. Tolong kuatkuasakan PKP penuh sekarang demi keselamatan semua,” katanya dikongsi menerusi akaun Facebooknya, malam tadi.
Bagi penyanyi dan pelakon popular, Aman Shah, tindakan ‘lockdown’ hanya menguntungkan satu pihak manakala satu pihak lain terpaksa menanggung derita.
“Yang makan gaji bulanan sukalah lockdown. Yang kerja sendiri… berniaga… nak makan apa. Yang dapat bantuan pun berapa sen je,” katanya dalam status di Facebook akaunnya, semalam.

Sementara itu, Jabatan Penerangan Malaysia sedang menjalankan kajian ‘Reaksi Terhadap Keberkesanan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0’ untuk mendapatkan maklum balas rakyat. Tujuan pelaksanaan kajian ini adalah menilai keberkesanan pelaksanaan PKP 3.0 dan ia dijalankan dari 20 hingga 24 Mei 2021.
Orang ramai berusia 18 tahun ke atas boleh menjawab soal selidik ini melalui pautan https://forms.gle/CuEV38p52XBjQRZC9
- Kafebuzz.my

