“Dah 64 tahun teman hisap rokok, dada dah bersarang” – Jamal Abdillah kongsi pandangan mengenai tindakan Khairy Jamaluddin
1 min read
Penyanyi terkenal, Datuk Jamal Abdillah menyokong tindakan kerajaan dalam menangani isu merokok dalam kalangan generasi muda.
Menurutnya, usaha yang dilaksanakan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin (KJ) itu merupakan suatu tindakan yang berani yang dapat memberi manfaat pada semua terutama generasi muda.
“Ingat senang ke nak buat RUU (Rang Undang-Undang) tembakau. Dah beribu tahun orang isap rokok… dah beribu tahun kome. Tengok anak-anak teman, kalau dulu lagi Kerajaan Malaysia dah buat, takdelah teman isap rokok. Ini dah 64 tahun teman isap rokok, dada dah bersarang,” katanya menerusi satu rakaman video di akaun Instagramnya, @jamalabdillahofficial, semalam.
Khairy sebelum ini menyatakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperkenalkan pelan pelaksanaan peruntukan GEG merujuk Generational Endgame Anti Rokok 18 atau Gegar 18 yang telah dilancarkan bagi memastikan persekitaran bebas tanpa amalan merokok tersedia untuk generasi tersebut.
Sehubungan dengan itu, satu akta baharu akan diperkenalkan yang terpakai kepada generasi yang lahir pada dan selepas tahun 2007 yang bertujuan Akta ini difahami dan diterima oleh generasi yang akan terkesan dengan peruntukan ini.
Raja Pop itu turut menyatakan beliau menyokong tindakan KJ seratus peratus demi masa depan anak-anak dan generasi akan datang.
“YB KJ, teman rasa mike berani untuk bawa isu RUU tembakau demi masa depan deme, anak-anak teman. Teman sokong seratus peratus.
“Cuba bawa ke Parlimen dan kalau boleh diluluskan alhamdulillah. Kalau daripada dulu takde la teman isap rokok, lepas ni jangan lupa RUU arak pulak. YB KJ I love you,” ujarnya.
- Kafebuzz.my

