02/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

CEO FINAS lawat Studio Jalan Ampas, ziarah Seniman dan Seniwati filem Melayu klasik

2 min read

Legasi filem Allahyarham Tan Sri P Ramlee sentiasa diminati ramai. Ia bukan saja menghiburkan malah, ia mengingatkan penonton terhadap kehebatan Studio Jalan Ampas di Singapura.

Selaras dengan aspirasi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dalam pembangunan khazanah warisan dan pembudayaan ilmu, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Prof. Dr. Md Nasir Ibrahim turut mengadakan lawatan rasmi ke lokasi bersejarah studio Malay Film Productions (MFP) milik Shaw Brothers ataupun dikenali sebagai Studio Jalan Ampas yang pernah memayungi penerbitan lebih 200 buah filem dari tahun 1937 sehingga penutupannya pada tahun 1967.

Dr Md Nasir ditemani Sandakiah ketika melawat Studio Jalan Ampas, Singapura semalam. (Foto: FINAS Malaysia)

Kunjungan Dr Md Nasir semalam diiringi anak pelakon legenda Allahyarham Datuk Aziz Sattar iaitu Sandakiah bersama Rosie Othman yang merupakan wakil Malay Film Department, Shaw Organisation.

Di kesempatan berada di Kota Singa itu, Dr Md Nasir menziarah dua bintang legenda iaitu Seniman Wahid Satay yang kini berusia 92 tahun dan Seniwati Zaiton Abdullah, 85 tahun di Eunos Crescent, Singapura.

Sebagai sebahagian daripada sejarah kegemilangan era filem Melayu klasik tahun 50an-60an, Wahid Satay terkenal dengan filem-filem terbitan studio Cathay Keris seperti Pontianak (1957), Sumpah Pontianak (1958), Che Mamat Parang Tumpul (1960) dan Badang (1962) manakala Zaiton telah mencipta impak lakonan dalam filem-filem terbitan Malay Film Productions (MFP) termasuklah Hang Tuah (1955), Anakku Sazali (1956), Bujang Lapok (1957) dan Ibu Mertuaku (1962).

Sandakiah menceritakan kenangan Studio Jalan Ampas kepada Dr Md Nasir. (Foto: FINAS Malaysia)

Dalam status di media sosial FINAS Malaysia, kunjungan tersebut merupakan sebahagian daripada agenda program Ziarah Prihatin FINAS.

“Sejajar dengan usaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) dan FINAS mewujudkan Dana Khas Dokumentari Bintang Nostalgia di bawah Dana Kandungan Digital (DKD) bagi menghasilkan siri dokumentari yang menampilkan barisan seniman dan seniwati filem Melayu klasik yang terlibat di era 1950an hingga 1970an.

“Ini merupakan satu penghargaan daripada pihak kerajaan atas sumbangan mereka sebagai nadi penggerak industri perfileman dahulu yang diwarisi generasi pembikin hari ini,” katanya.

Keadaan terkini Studio Jalan Ampas di Singapura yang kini hanya tinggal kenangan. (Foto: FINAS Malaysia)
Antara koleksi Studio Jalan Ampas yang masih dipulihara. (Foto: FINAS Malaysia)
Dr Md Nasir turut menyampaikan sumbangan kepada Zaiton dan Wahid. (Foto: FINAS Malaysia)
  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *