03/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

Cabaran ketika PKP, Daddyku Gangster bawa elemen keluarga

3 min read

Isu kanak-kanak terbiar akibat tidak mempunyai ibu bapa yang meninggal dunia menjadi kisah yang tiada penghujung.

Bagaimanapun, isu ini tidak seharusnya dipandang sebelah mata. Ia perlu terus diperjuangkan agar jalan penyelesaian terbaik dalam membanteras isu ini dapat dilakukan. Menyedari kepentingan tersebut, ia mencetuskan idea kepada produser Datuk Rosmarayu Mokhtar menghasilkan filem berjudul Daddyku Gangster.

Menurutnya, nashkah filem berkenaan boleh memberikan kepuasan kepada penonton dengan jalan cerita yang cukup menarik.

“Idea untuk mencetuskan filem ini timbul apabila melihat kanak-kanak terbiar tidak mempunyai ibu bapa yang meninggal dunia.

“Selain itu, saya juga mendapat inspirasi daripada filem Hollywood iaitu Fast And Furios 8, di mana ia turut menerapkan elemen kekeluargaan, meskipun ia sarat dengan aksi,” katanya dalam satu kenyataan media.

Filem Daddyku Gangster akan menemui penonton di pawagam pada 1 Disember 2022.

Rosmarayu berkata, filem terbaru terbitan D’Ayu Pictures Sdn Bhd ini menampilkan kelainan berbanding filem-filem gangster lain apabila ia mengetengahkan elemen kekeluargaan, terutama membabitkan hubungan dua orang kanak-kanak dengan pakciknya yang sudah dianggap sebagai bapa.

“Biarpun tajuknya Daddyku Gangster tetapi ia sebenarnya sesuai untuk ditonton oleh semua golongan termasuk seisi keluarga.

“Disebabkan itu filem ini lebih mengetengahkan genre aksi komedi supaya ia tidak nampak sebuah naskhah yang nampak ganas,” katanya.

Filem Daddyku Gangster membawa elemen keluarga sesuai tontonan umum.

Tambahnya, apa yang lebih istimewa lagi apabila filem arahan Ismail Bob Hashim ini dibintangi barisan pelakon berpengalaman dan dikenali ramai, termasuk Zul Huzaimy yang memegang watak utama sebagai penjaga kepada dua anak saudaranya setelah kematian abangnya.

Filem Daddyku Gangster juga dijayakan Adeline Tsen, Faizal Hussein, Jay Iswazir, Ridzuan Hashim, Zalif Sidek, Reen Rahim, Alieff Irfan, Azri Iskandar, Vanidah Imran dan dua pelakon cilik iaitu Angelica Petra serta Arryyan Petra.

Menelan kos pembikinan kira-kira RM2.5 juta, Daddyku Gangster menjalani penggambaran di Kota Bharu, Pasir Puteh dan Bachok, Kelantan pada awal tahun 2020.

“Kalau ditanya tentang harapan pula, pastinya saya mengharapkan filem Daddyku Gangster mendapat sambutan hangat penonton.

“Malah, saya menyarankan supaya datang untuk menonton ke panggung beramai-ramai dan yakin ia adalah sebuah filem yang sangat menghiburkan,” sambungnya.

Antara babak menarik dalam filem Daddyku Gangster.

Bagi Ismail Bob, Daddyku Gangster cukup istimewa kerana ia merupakan filem ke-20 arahannya sepanjang karier seni sebagai pengarah.

Ujarnya, menerusi filem ini dia cuba menampilkan kelainan dengan menampilkan Zul Huzaimy memegang watak utama.

“Sebagai pengarah sudah tentu saya cuba sesuatu yang baharu. Misalnya, kita semua tahu Zul Huzaimy seorang pelakon hebat yang terkenal dengan watak antagonis.

“Untuk kali ini, saya cuba ‘twist’ pula dengan menjadikan Zul Huzaimy pegang watak hero dan ternyata dia berjaya membawakan wataknya dengan berkesan,” ujarnya.

Ismail Bob Hashim (baju merah) memberikan arahan pada pelakon ketika penggambaran filem Daddyku Gangster.

Mengenai cabaran sepanjang pembikinan filem berkenaan, Ismail Bob memberitahu antara yang terpaksa dihadapi kru produksi apabila kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 yang melanda dunia.

Jelasnya, pada masa itu penggambaran baru berlangsung selama dua minggu dan ia terpaksa dihentikan seketika.

“Kami mulakan penggambaran ketika Mac 2020 dan lepas itu terus PKP sehingga kami terpaksa berada di hotel sahaja.

“Kemudian kami minta khidmat nasihat pihak polis dan dinasihatkan untuk pulang ke Kuala Lumpur dengan segera dan penggambaran hanya disambung semula pada Julai,” ujarnya.

Filem Daddyku Gangster berdepan cabaran ketika PKP.

Filem ini mengisahkan Ray merupakan ketua kumpulan yang gemar mencuri kereta kereta mewah untuk diseludup ke Malaysia bersama rakan kumpulannya yang memiliki kepakaran masing masing. Selain itu Ray turut melibatkan diri dalam pertarungan bawah tanah di gelanggang haram milik Pablo.

Ray mempunyai sejarah silam dalam hubungan kekeluargaan terutama dengan abang kandungnya sendiri. Di suatu malam ketika hari lahir Ray, Remy abang kepada Ray datang bersama keluarga menyambutnya walaupun layanan Ray dingin terhadap keluarga Remy terutama kedua-dua anak saudaranya, Arisha dan Aidil.

Malang tidak berbau, Remy dan isterinya meninggal dunia setelah terlibat kemalangan jalan raya sebaik pulang dari rumah Ray. Peguam bernama Lisa bertanggungjawab menyerahkan hak penjagaan sementara Arisha dan Aidil kepada Ray berdasarkan wasiat daripada Remy. Ray menjadi kurang senang dengan memikirkan hal yang bakal dilalui apabila terpaksa menjaga anak saudaranya itu. Bagaimanapun, akibat terpikat memandang Lisa, Ray menerima pelawaan tersebut.

Filem Daddyku Gangster akan ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 1 Disember 2022.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *