02/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

Buku Catatan Tadabur Quran@114 buah tangan istimewa buat penonton setia

2 min read

TV AlHijrah bakal melancarkan buku Catatan Tadabur Quran@114 di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 kali ke-41 yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Kuala Lumpur (WTCKL).

Menurut Pemangku Pengurus Kanan Jabatan Pengurusan Kandungan TV AlHijrah, Zulkarnaen Mokhtar, buku Catatan Tadabur Quran@114 yang bakal dilancarkan di pentas utama PBAKL adalah hadiah dan buah tangan istimewa buat penonton setia stesen ini yang mengikuti rancangan Quran@114 di kaca televisyen.

“Rancangan Quran@114 muncul dengan konsep pembelajaran al-Quran di kaca televisyen dengan bimbingan tenaga pengajar, barisan personaliti serta agamawan yang hebat mengikut kepakaran masing-masing. Rancangan ini menitikberatkan konsep tadabbur, tafaqquh, tazakkur dan I’tibar.

“Selepas bersiaran secara langsung selama dua musim iaitu musim pertama pada  Januari 2023 dan musim kedua pada Februari lalu, kami bukukan pula rancangan Quran@114 agar menjadi rujukan relevan penonton apabila mengikuti rancangan ini. Secara tidak langsung, kita percaya buku Catatan Tadabur Quran@114 ini mampu menjadi pembimbing dalam melahirkan masyarakat yang celik al-Quran,” katanya.

Zulkarnaen Mokhtar

Mengulas lanjut mengenai buku Catatan Tadabur Quran@114, Zulkarnaen menjelaskan TV AlHijrah bekerjasama dengan pakar bidang al-Quran iaitu Dr Shamsul Mohd Nor yang bertindak sebagai penulis bagi menghasilkan buku yang diterbitkan oleh Galeri Ilmu ini.

“Dr Shamsul Mohd Noor berpengalaman luas dalam bidang al-Quran, dakwah serta konsultasi syariah. Beliau juga merupakan pentadabur dan penyelidik bagi rancangan Quran@114. Oleh itu, kami yakin buku ini mampu difahami oleh segenap lapisan masyarakat Muslim.

“Selain daripada penjualan buku Quran@114, pengunjung juga boleh mendapatkan buku Cinta Ilmu Akidah Fiqah dan Ibadah sebagai rujukan menjadi Muslim soleh. Pelbagai aktiviti lain turut disusun untuk pengunjung PBAKL 2024 antaranya slot bedah buku, belajar bahasa isyarat jawi, kaligrafi cina dan tulisan khat dan pengunjung boleh bertemu serta beramah mesra dengan personaliti TV AlHijrah,” katanya.

Tambahnya, TV AlHijrah juga akan memeriahkan suasana PBAKL 2024 dengan aktiviti lain seperti permainan kahoot, pertandingan melukis dan mewarna bersama Durioo dan teka silang kata jawi. Peminat seni marhaban pula berpeluang menyaksikan sesi marhaban secara live di platform TikTok.

Orang ramai dijemput hadir bagi menghangatkan suasana PBAKL 2024 terutama di reruai TV AlHijrah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *