Bintang Paling Popular ABPBH 2023 turun padang, KJH BABA’S raih 300,000 pengunjung
3 min read
Cuaca panas tidak menghalang orang ramai berkunjung ke Karnival Jom Heboh BABA’S (KJH BABA’S) yang berlangsung di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan.
KJH BABA’S bukan sahaja menarik kehadiran masyarakat setempat malah penduduk di sekitar utara sehingga merekodkan kehadiran lebih 300,000 pengunjung sepanjang tiga hari acara yang diadakan dari 28 hingga 30 Julai lalu.

Dalam satu kenyataan media, sambutan acara kali ini lebih bermakna buat pengunjung dapat meluangkan masa bersama-sama menyambut ulang tahun ke-20 bagi acara padang paling lama di Malaysia di samping meraikan Hari Kari Malaysia BABA’S.
Pelbagai aktiviti dijalankan seperti demo masakan kari, aktiviti info halal bersama BABA’S dan buat pertama kalinya, pemberian pek nasi kari BABA’S secara percuma.
Kemuncak acara KJH BABA’S adalah pada malam konsert terakhir yang mendapat sambutan hangat apabila perkarangan Stadium Negeri Pulau Pinang dibanjiri ribuan pengunjung.
Kemeriahan malam konsert turut menyaksikan kehadiran Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang berkongsi pandangan, tidak menyangka acara padang ini menerima sambutan yang sangat luar biasa dan terbukti KJH BABA’S adalah acara yang paling dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Malaysia khususnya warga utara.
Hadir sama, Pengerusi Kumpulan, Media Prima Berhad, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid; Pengarah Urusan Kumpulan, Media Prima Berhad, Rafiq Razali dan Ketua Pegawai Operasi, Media Prima Omnia, Mohd Efendi Omar.

Keadaan lalu lintas yang sesak sehingga ada yang terperangkap selama 2 jam, tidak menghalang pengunjung hadir memeriahkan suasana konsert KJH BABA’S.
Barisan artis yang terlibat dalam konsert yang diadakan selama dua hari terdiri daripada Aepul Roza, Budak Nakal Hujung Simpang, Bunga, Insomniacks, Killa Driz, Marsha Milan, Nabila Razali, Naqiu, Puteri Khareeza, Rahmad Mega, Sarah Suhairi, Siti Nordiana, Usop, Zamani dan Zynakal berjaya menggamatkan suasana.

Kumpulan Fantasi jadi Johan
Pertandingan Yaribba! Boria merupakan kerjasama Studio Tonton Drama Sangat dan Akademi Boria disertai enam kumpulan daripada pelbagai lapisan masyarakat. Nasib menyebelahi Kumpulan Fantasi apabila berjaya menjadi Johan bagi kategori keseluruhan, sekaligus berjaya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM8,000.

Tempat kedua pula dimenangi oleh kumpulan Warisan Gemilang (hadiah kemenangan sebanyak RM6,000), diikuti tempat ketiga menjadi milik kumpulan Gema Permata (RM5,000) dan tempat terakhir, kumpulan Satuni Gemilang (RM3,000). Setiap hadiah kemenangan ditaja oleh Akademi Boria.
Pertandingan kostum kanak-kanak pada 28 Julai pula menyaksikan Fira Ayuni Mohd Fazli bergelar juara dengan hadiah wang tunai RM300 manakala kedua, Muhammad Aaqil Shafiyyuddin Arik Ahamed (RM200) dan Salman Alfarisy Ahmad Afandi (RM100).

Apa yang menarik, kemunculan selebriti popular tanah air di Studio Tonton Drama Sangat selama tiga hari berturut-turut ini juga memberi peluang kepada pengunjung untuk bergambar dan beramah mesra bersama selebriti kesukaan mereka.
Suasana semakin gamat dengan kemunculan Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian Ke-35 (ABPBH35), Bell Ngasri selain selebriti lain seperti Aliff Aziz, Trisha Ooi, Fazlina Datuk Ahmad Daud, Nabila Razali, Aloy Paradoks, Mathni Razak, Fiza Thomas, Aisha Retno, Da’i Hadhari, Faroukh Hussain, Sofea Nursolehha, Ieda Moin dan Fatin Hamimah.





- Kafebuzz.my

