02/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

Bajet 2023: K-KOMM pertingkat usaha kesalinghubungan digital, ekonomi digital, keselamatan siber dan industri kreatif beri impak positif terhadap industri dan golongan sasar

3 min read

Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) menyambut baik pengumuman Bajet 2023 yang merupakan bajet yang sangat komprehensif untuk manfaat rakyat, bersesuaian dengan tema, ‘Keluarga Malaysia, Makmur Bersama’.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, berpaksikan kepada empat fokus utama iaitu kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan, kemakmuran ekonomi dan kecekapan perkhidmatan Kerajaan, beliau yakin pendekatan Responsif, Bertanggungjawab dan Reformis yang dibawakan melalui Bajet 2023 akan terus memperkukuhkan sosioekonomi Keluarga Malaysia.

“Sehubungan dengan itu, melalui Bajet 2023 dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM2.737 bilion, K-KOMM akan mempertingkatkan usaha kesalinghubungan digital, ekonomi digital, keselamatan siber dan industri kreatif yang diyakini dapat memberi impak positif terhadap industri dan golongan sasar.

“Ini merupakan peningkatan sebanyak 4.28 peratus yang menunjukkan komitmen Kerajaan dalam memastikan setiap rakyat mendapat akses kepada telekomunikasi dan Internet yang lebih berkualiti, meningkatkan penyertaan dalam aktiviti dan sumbangan e-dagang, mengurangkan risiko ancaman jenayah siber dan menyemarakkan industri kreatif negara,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, Kerajaan meneruskan usaha dalam penyediaan kemudahan jalur lebar terkini di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dengan peruntukan sebanyak RM700 juta untuk pelaksanaan ketersambungan digital di 47 kawasan perindustrian dan hampir 3,700 sekolah manakala bagi meningkatkan perkhidmatan 5G untuk mencapai sasaran liputan sehingga 70 peratus di kawasan berpendudukan tinggi, sejumlah RM1.3 bilion diperuntukkan pada tahun 2023 bagi Digital Nasional Berhad (DNB) melaksanakan pembangunan infrastruktur 5G.

“Bagi merapatkan jurang digital dalam kalangan belia, Pakej Remaja Keluarga Malaysia iaitu pakej prabayar dengan tawaran langganan pelan data Internet RM30 untuk tempoh tiga bulan yang dijadualkan tamat pada Oktober 2022 kini dilanjutkan sehingga April 2023.

“Dalam usaha memperluaskan jaringan akses aktiviti ekonomi digital kepada rakyat, sejumlah RM59 juta diperuntukkan untuk menggalakkan aktiviti e-dagang yang akan dilaksanakan melalui kolaborasi strategik antara Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Tambahnya, MDEC akan memperluaskan program Digital AgTech ke 264 Pertubuhan Peladang Kawasan di seluruh negara dengan peruntukan RM20 juta bagi melatih lebih ramai pekebun kecil beradaptasi dengan teknologi digital.

“DE Rantau yang mempromosikan mobiliti profesional digital bagi menyokong gaya hidup nomad digital terus diperluaskan ke enam lokasi baharu melibatkan 2,000 Penginapan Sewa Pendek yang dijadikan Hab Nomad Digital pada tahun 2023. Inisiatif ini akan memanfaatkan 120 syarikat pemula serta menyumbang lebih RM180 juta kepada ekonomi.

“Kerajaan memandang serius risiko keselamatan siber negara yang boleh menjejaskan keselamatan negara. Oleh itu, langkah pencegahan awal yang lebih berkesan dan berupaya untuk meramal serta memberi amaran awal melalui platform risikan ancaman perlu diwujudkan,” katanya.

Annuar berkata, Kerajaan memperuntukkan RM73 juta untuk memperkasa CyberSecurity Malaysia bagi mengukuhkan pemantauan, pengesanan dan pelaporan ancaman siber termasuk membina keupayaan sistem forensik siber.

“Bagi melindungi masyarakat awam daripada menjadi mangsa jenayah siber Kerajaan telah membuat keputusan untuk menubuhkan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) yang melibatkan usahasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) dengan kerjasama strategik institusi kewangan.

“NSRC akan mula beroperasi bulan ini dan bertindak berdasarkan laporan diterima untuk menyekat akaun serta mengambil tindakan ke atas penjenayah siber. Sebagai salah satu sektor strategik di bawah RMKe-12, industri kreatif turut mendapat perhatian di bawah inisiatif Bajet 2023.

“Tumpuan kali ini adalah untuk menerbitkan kandungan yang boleh menyuburkan semangat patriotisme dalam kalangan Keluarga Malaysia. Sehubungan itu, RM50 juta diperuntukkan bagi Dana Penerbitan Filem Kenegaraan (DEKAN),” katanya.

Ujarnya, K-KOMM juga menyambut baik peningkatan peruntukan Dana Kandungan Digital (DKD) berjumlah RM102 juta berbanding RM60 juta pada tahun lepas. Dana ini memainkan peranan penting dalam menggalakkan penggiat seni menghasilkan lebih banyak karya kreatif yang malar segar dan seterusnya membuka lebih banyak peluang pasaran bagi karya mereka di dalam dan luar negara.

“Bagi menyokong penggiat industri mencipta kandungan kreatif berkualiti tinggi, sumbangan kepada Tabung Komuniti Filem dan Pembangunan Filem Kenegaraan di bawah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) akan diberi potongan cukai. Kerajaan juga bersetuju mengecualikan duti import dan cukai jualan ke atas peralatan studio dan produksi penggambaran.

“Mendepani cabaran ekonomi semasa, K-KOMM yakin Bajet 2023 yang telah diumumkan ini mampu menjana pertumbuhan ekonomi negara demi kemakmuran seluruh Keluarga Malaysia,” katanya.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *