02/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

Apa sudah jadi? 3 sebab utama orang ramai gagal daftar dapatkan vaksin Astrazeneca (AZ)

2 min read

Geram, marah, kecewa dan keliru.

Itu antara perasaan yang dikongsi rakyat Malaysia yang gagal mendaftar vaksin Astrazeneca (AZ) hari ini. Sudah tentu, berjuta rakyat negara ini berebut slot kali kedua.

Banyak persoalan bermain di fikiran apabila percubaan berkali-kali untuk mendaftar vaksin AZ gagal. Siapa yang dapat? berapa ramai yang berjaya? Paling penting bagaimana mereka berjaya?.

Berikut 3 sebab utama mengapa rakyat Malaysia gagal mendaftar AZ kali ini:

  1. Sistem ‘tergantung’

Slot daftar yang sepatutnya dibuka jam 12 tengahari terpaksa ditangguhkan hingga 15 minit kerana sistem dikemaskini menurut status di Twitter, Vaksin COVID-19 @JKJAVMY. Bukan saja sistem bermasalah di awal waktu dijanjikan tapi apabila berjuta rakyat Malaysia mula melengkapkan butiran pendaftaran secara dalam talian di www.vaksincovid.gov.my, beberapa kali sistem tergantung lagi.

  1. Sila Pilih Negeri Anda

Bagi pemberian AZ kali kedua ini, hanya 5 negeri dipilih dalam senarai Pusat Pemberian Vaksin (PPV). Seperti mana di awal tadi ketika sistem ‘updated’, ia memberi petanda masalah sistem akan berlaku.

Sebelum orang ramai menghantar permohonan mereka, orang ramai perlu memilih antara 5 lokasi berkenaan. Malangnya, kesemua lokasi itu tiada respons selepas klik berulang kali. Ini menyebabkan segelintir pengguna terpaksa ‘refresh’ sistem dan mengisi butiran semula.

Ramai pengguna mengeluh apabila gagal klik salah satu negeri yang ditawarkan.
  1. Pilih lokasi PPV dan tarikh

Dalam keadaan yang sangat kritikal, masing-masing sepantas mungkin cuba mengisi butiran diri dengan memasukkan nombor kad pengenalan, nombor telefon dan nombor MySJ ID sebelum memilih lokasi PPV dan tarikh.

Bayangkan perasaan teruja orang ramai selepas dapat masuk sistem pendaftaran AZ. Selepas segala butiran diberikan, seterusnya memilih lokasi dan tarikh yang diinginkan.

Malangnya berkali-kali cubaan pengguna untuk memilih lokasi PPV dan tarikh gagal. Di sini, pengguna tertanya-tanya sama ada tempat sudah penuh atau masih kosong.

Apa yang menghairankan, masih banyak lokasi PPV berwarna hijau yang bermaksud masih ada kosong tetapi sebaik permohonan dihantar, sistem memaklumkan tempat sudah penuh pada tarikh tersebut.

Masih banyak slot kosong mengikut apa yang dimaklumkan sistem berkenaan tetapi sistem memberi respons penuh apabila permohonan cuba dihantar.

Kesudahnnya, apa pun tak boleh buat. Orang ramai terpaksa mencuba berkali-kali dengan harapan permohonan berjaya dihantar. Akibat kegagalan sistem ini, kebanyakan permohonan gagal hingga akhirnya gigit jari selepas sistem memaklumkan ‘Tempahan telah ditutup. Terima kasih’.

Apalah nasib badan. Dah masuk awal atau sempat masuk dalam sistem tetapi tetap gagal untuk menghantar permohonan. Siapa yang mahu dipersalahkan, sistem atau manusia?

Lebih sejam permohonan vaksin AZ dibuka kepada orang ramai tapi akhirnya ramai terpaksa berputih mata.
  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *