ANWAR 10, Macguire santai
2 min read
Kunjungan pasukan bola sepak terkemuka dunia, Manchester United ke negara ini pastinya dinantikan ramai peminat.
Mereka teruja menyaksikan lebih dekat perlawanan antara pasukan The Red Devils itu menentang pasukan pilihan ASEAN All-Stars menerusi perlawanan Maybank Challenge Cup dijadualkan akan berlangsung hari ini (28 Mei 2025) bertempat di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut berkesempatan mengadakan pertemuan bersama Ketua Pegawai Eksekutif Manchester United, Omar Berrada dan pengendali pasukan, Ruben Amorim serta pemain dan pengurusan pasukan ASEAN All-Stars yang diketuai Ketua Jurulatih, Kim Sang Sik.
Dalam perkongsian status di media sosialnya, Anwar juga menerima jersi khas perlawanan persahabatan peringkat antarabangsa itu yang tertera nombor 10. Pertemuan tersebut itu juga diiringi Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
“Saya ucapkan selamat berentap buat kedua-dua pasukan yang akan beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil. Saya masih berfikir nak sokong siapa malam esok,” ujarnya dalam statusnya.
Beberapa jam sebelum perlawanan, pemain Manchester United kelihatan menjalani sesi latihan rasmi di lokasi sama, malam tadi. Difahamkan, sesi latihan yang berlangsung selama sejam juga ditonton rakan media tempatan dan antarabangsa termasuk peminat.

Pasukan legenda berusia 147 tahun ini pernah berkunjung ke negara ini pada tahun 2009 menentang pasukan Malaysia XI.
Sementara itu menerusi perkongsian status pasukan Manchester United di media sosial Instagramnya menyatakan perlawanan istimewa itu boleh ditonton secara langsung menerusi saluran MUTV.






