Amira Othman Melewati Mimpi
2 min read
Penyanyi, pelakon, dan pengacara serba boleh, Amira Othman kembali mencuri tumpuan dengan single terbaharu, Melewati Mimpi.
Ia merupakan single kedua bersama Alternate Records & Talents dan Sony Music Malaysia. Lebih istimewa, lagu ini turut dipilih sebagai lagu runut bunyi (OST) bagi drama bersiri, Pinjaman Syurga disiarkan menerusi Slot Akasia TV3 bermula 5 September lalu.
Lagu Melewati Mimpi bergenre pop balada membawa emosi mendalam dan menyentuh hati pendengar. Dihasilkan oleh komposer, penulis lirik dan penerbit berbakat Aiman Sidek, lagu ini adalah hasil inspirasi mendalam daripada sinopsis drama Pinjaman Syurga mengisahkan tentang cinta tidak kesampaian dan keinginan menemukan pengakhiran sempurna.

Amira yang dikenali dengan perwatakan tenang dan positif menyatakan rasa teruja kerana ia merupakan gandingan pertama kali dengan Aiman.
“Melewati Mimpi adalah karya yang begitu menyentuh kalbu, seiring dengan jiwa saya sebagai pencinta balada. Keterujaan saya meluap-luap apabila berpeluang bekerjasama buat pertama kali dengan Aiman Sidek, seorang komposer dan penerbit yang memiliki bakat luar biasa.
“Saya sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja kerana percaya setiap orang ada kelebihan tersendiri. Dengan sentuhan magis Aiman, saya dapat meneroka dimensi baharu dalam kerjaya muzik saya. Hasilnya, kami mencipta sebuah karya agung yang bukan sahaja memukau tetapi juga menggugah emosi paling dalam,” katanya dalam satu kenyataan media.
Jelasnya, cabaran menjiwai lagu ini sememangnya besar kerana dia jarang mendekati genre balada sebelum ini sebaliknya, keseronokan yang muncul ketika meneroka dimensi baru ini memberi kepuasan luar biasa.
“Saya berharap Melewati Mimpi diterima oleh semua golongan tanpa mengira usia. Dengan gaya unik yang dibawa oleh lagu ini, saya yakin melodi dan liriknya mampu meresap ke dalam hati dan terus dihayati oleh pendengar,” katanya.
Aiman pula mendedahkan bahawa idea lagu ini tercetus sebaik sahaja menerima sinopsis drama Pinjaman Syurga daripada Alternate Records dan seterusnya dia mula mengolah lagu yang sesuai dengan tema drama tersebut.
“Alhamdulillah, saya berjaya mencipta lagu ini dengan sentuhan luar biasa, menggali tema cinta dan pengharapan yang meruntun jiwa dalam drama tersebut. Lebih mengagumkan, proses pembikinannya hanya mengambil masa seminggu dari demo hingga ke mastering, menjadikannya antara projek terpantas yang pernah saya ciptakan.
“Keunikan Amira adalah kemampuannya menyampaikan emosi dan feel dengan tenang, tanpa perlu menjerit. Ketenangan itulah yang membuatkan emosi dalam lagu itu sampai,” katanya.

Aiman juga berharap agar Melewati Mimpi dapat menyentuh hati para pendengar dan menjadi siulan ramai sekaligus mengukuhkan lagi kedudukan Amira dalam industri muzik tanah air.
“Melewati Mimpi adalah lagu yang wajib anda dengar. Melodi yang indah, lirik yang menyentuh hati, dan suara merdu Amira Othman akan membawa anda pada sebuah perjalanan emosi yang tak terlupakan,” katanya.
Dalam pada itu, penonton boleh menyaksikan drama bersiri, Pinjaman Syurga pada setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7 malam di TV3 atau penstriman melalui Tonton di www.tonton.com.my atau di aplikasi Tonton.
- Kafebuzz.my


