02/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

Amelia Henderson bersama Aedy Ashraf dalam Kisah Cinta Kita

2 min read

Mungkinkah anda akan mempertimbangkan cadangan untuk menyamar sebagai individu lain demi menyelamatkan nyawa orang tersayang? Bersediakah anda berhadapan dengan segala dugaan dan cabaran sepanjang penyamaran tersebut apabila ia mula melibatkan soal hati dan perasaan? 

Selami perasaan dan mainan emosi Amelia Henderson menerusi drama terbaharu Kisah Cinta Kita dimana dia menerima tawaran Aedy Ashraf untuk satu penyamaran identiti yang akhirnya menyebabkan dia terjerat dalam situasi genting.  

Kisah Cinta Kita merupakan idea asal Rehal Nuharis dan Bikash Nur Idris yang juga penulis skrip untuk drama rantaian ini. Ia diarahkan Riza Baharudin turut dibintangi Datuk Jalaludin Hassan, Datin Seri Maria Farida, Khaty Azian dan Ikmal Amry.  

Gandingan mantap Aedy bersama Amelia menerusi drama bersiri terbaharu, Kisah Cinta Kita.

Drama rantaian ini mengisahkan Aleesa lakonan Amelia Henderson didatangi seorang lelaki tidak dikenali, Amer (Aedy Ashraf). Aleesa diminta menyamar sebagai Natasha yang menghilangkan diri kerana mereka berdua mempunyai wajah seiras. Sebagai balasan, Amer berjanji akan menanggung kos pembedahan ibunya, Hanisah (Maria Farida) sekiranya Aleesa bersetuju menjadi Natasha demi kesihatan Datuk Ramzi (Jalaludin Hassan) yang masih berada di hospital.

Memandangkan dia hanya perlu menyamar sekejap sahaja, Aleesa bersetuju. Aleesa hanya perlu ke hospital dan bercakap-cakap dengan Datuk Ramzi yang masih belum sedarkan diri. Natasha sebenarnya membuat keputusan untuk kahwin lari dengan Zuhairi (Ikmal Amry) di sempadan apabila datuknya, Datuk Ramzi mahu memisahkannya dengan Zuhairi. Datuk Ramzi ingin mengahwinkan cucu tunggalnya dengan Amer. Selepas kehilangan Natasha, Datuk Ramzi diserang sakit jantung dan dimasukkan ke hospital. 

Drama Kisah Cinta Kita disiarkan menerusi slot Akasia TV3 bermula 26 November lalu.

Natasha ditemui dalam keadaan wajahnya terbakar akibat kemalangan jalan raya yang tragis. Amer mengarahkan Aleesa untuk meneruskan lakonannya sebagai Natasha. Aleesa tidak bersetuju selepas Datuk Ramzi sedarkan diri. Ia bukan perjanjian awal mereka. Apabila Amer mengugut untuk menghentikan pembiayaan kos perubatan Hanisah, Aleesa terpaksa bersetuju. 

Demi ibunya, Aleesa meneruskan penyamaran sebagai Natasha dengan perasaan marah dan benci kepada Amer. Aleesa mengesyaki Amer merancang mahu membolot harta Datuk Ramzi selepas ternampak Datin Laila (Khaty Azian) dan Amer dalam keadaan mencurigakan.

Amelia melakonkan dua watak sebagai Aleesa dan Natasha menerusi drama bersiri, Kisah Cinta Kita.

Drama terbitan A. Aida Production ini bersiaran selama 28 episod bermula 26 November lalu menerusi slot Akasia TV3, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7 malam. Peminat drama Melayu juga berpeluang menyaksikannya di platform penstriman popular Disney+ Hotstar Malaysia. 

Penampilan istimewa, Datuk Jalaludin Hassan sebagai Datuk Ramzi menerusi drama bersiri, Kisah Cinta Kita.
  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *