02/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

Aktiviti penggambaran di luar studio dibenarkan pada fasa kedua Pelan Pemulihan Negara

2 min read

Kerajaan meluluskan pembukaan semula aktiviti penggambaran filem di luar studio dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat pada fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) seperti diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, keputusan ini adalah antara usaha berterusan kerajaan merangsang kelangsungan ekonomi penggiat seni dan industri kreatif melalui daya saing pengeluaran produk dan peluang pekerjaan.

“Kelulusan untuk aktiviti penggambaran filem pada fasa dua adalah berpandukan kepada pelaksanaan syarat-syarat yang diperketatkan di bawah Protokol Gelembung Penggambaran (PREP) yang akan dikawal selia oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

“Inisiatif PREP ini juga adalah kawalan bersepadu aktiviti penggambaran yang bergerak dalam zon gelembung yang terasing, terkawal dan terhad melalui pematuhan syarat-syarat utama di bawah kelulusan Surat Perakuan Penggambaran Filem Khas (SPP Khas) FINAS,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pematuhan syarat utama tersebut merujuk kategori yang dibenarkan untuk meneruskan penggambaran adalah produksi drama, iklan dan dokumentari sahaja yang terdahulunya menangguhkan
penggambaran kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di fasa PPN.

Aktiviti penggambaran hanya boleh dijalankan di negeri-negeri yang berada di status fasa dua sahaja dan melibatkan lokasi atau premis penggambaran luar studio sahaja (‘outdoor’). Produksi boleh menggunakan mana-mana lokasi atau premis dengan syarat ia mempunyai jarak zon penampan (‘buffer zone’) daripada mana-mana kawasan penempatan serta perlu mendapat kelulusan pihak berkuasa.

“Aktiviti penggambaran dilaksanakan dengan kaedah PREP yang melibatkan jumlah tenaga produksi yang minima serta tidak dibenarkan keluar dari radius zon penggambaran sehingga tamat penggambaran. Untuk tujuan tersebut, setiap produksi mempunyai tempoh bertenang (‘cooling period’) yang ditetapkan sebelum dibenarkan untuk sebarang penggambaran baharu,” katanya.

Tambahnya, penguatkuasaan aspek kawalan risiko dengan kebenaran hanya diberikan kepada tenaga produksi yang lengkap dua dos suntikan vaksin COVID-19, menjalani saringan kesihatan sebelum, semasa dan selepas tamat penggambaran serta pelantikan Penyelia Protokol Penggambaran (PPP) oleh pihak produksi yang bertanggungjawab bagi pematuhan semua SOP yang ditetapkan kerajaan.

“Saya juga menyeru supaya syarikat produksi yang terlibat untuk sentiasa mematuhi semua syarat-syarat yang dinyatakan untuk mengelakkan sebarang implikasi perundangan, keselamatan dan kesihatan khususnya dalam usaha kerajaan memerangi wabak COVID-19 ini. Butiran lanjut mengenai SOP dan garis panduan tersebut boleh didapati menerusi laman sesawang KKMM di www.kkmm.gov.my dan FINAS di www.finas.gov.my. Sebarang pertanyaan lanjut boleh berhubung dengan FINAS di talian 03-41041300 atau e-mel di info@finas.my,” katanya.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *