Aksi Awie bersama keris ‘Taming Sari’, karya Seniman Agung Tan Sri P Ramlee bergema
3 min read
Suasana malam tadi seolah mengasyikan dan menusuk kalbu.
Nama Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee jadi sebutan ramai. Lagu-lagu beliau kembali dinyanyikan dan dideklamasi dalam bentuk puisi.
Betapa istimewa P Ramlee pada mata peminat tidak kira Melayu, Cina dan India, masing-masing meminati filem dan lagu beliau yang bersifat malar segar.
Menerusi program Malam Puisi Getaran Jiwa Tan Sri P Ramlee yang berlangsung dengan jayanya pada malam tadi, ia membangkitkan rasa rindu dan cinta pada karya Seniman Agung itu.

Kali ini, karya beliau diraikan tokoh bahasa, Sasterawan Negara, pengarah filem, penyanyi dan peminat.
Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Dr. Noor Zari Hamat berkata gandingan mantap itu bakal memberi sinar kepada acara seni negara, lebih-lebih lagi program kali ini memfokuskan figura serba boleh yang dikenali daripada generasi ke generasi sekalipun kepada mereka yang tidak hidup sezaman dengan Allahyarham.
“Lagu-lagu gubahannya diminati ramai sehingga muncul klon P.Ramlee di seluruh negara, namun P.Ramlee hanya seorang. Sehingga kini masih tiada ganti. Di mana kan kucari ganti serupa denganmu. Ini antara bait lagu yang sering mengusik indera dengar kita.
“Dalam konteks ini, saya melihat program untuk mengangkat Seniman Agung ini sebagai Pemuisi Legenda adalah sesuai dan tepat kerana sifat kesenimanan Allahyarham tiada tolok bandingnya,” katanya ketika merasmikan acara yang julung-julung kali dianjurkan bersama oleh Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI), MOTAC, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), malam tadi.

Beliau berkata pemerhatian P. Ramlee terhadap alam dan karenah manusia sentiasa menjentik ilham beliau untuk menghasilkan karya yang menarik, bermutu dan penuh dengan nilai seni malah tersurat aneka pengajaran sekalipun ditulis dalam nada sindiran dan jenaka.
Noor Zari turut mencuit tumpuan pelayar Facebook apabila menyampaikan puisi bertajuk Legenda Sepanjang Zaman karya Dr. Lim Swee Tin.
Malam Puisi Getaran Jiwa Tan Sri P. Ramlee disiarkan secara langsung selama dua jam mulai pukul 9.00 malam menerusi Facebook DBP, PEMUISI BERKARYA dan FDAM.

Pelayar Facebook turut dihiburkan dengan komedi spontan oleh pengacara berwajah seiras seniman legenda itu, Musly Amir Mohamed Ramli atau terkenal dengan nama pentasnya Musly Ramlee.
Acara itu turut dijayakan Penaung PEMUISI, Tan Sri Hamad Kama Piah Che’ Othman; Sasterawan Negara, Profesor Emeritus Dr. Muhammad Hj Salleh; Sasterawan Negara, Datuk Dr. Zurinah Hassan; Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan; Naib Canselor ke-8 Universiti Malaya Prof. Emeritus Datuk Dr. Hashim Yaacob; Presiden PEMUISI, Datuk Dr. Radzuan Ibrahim dan Presiden FDAM, Dr. Ahmad Ibrahim.

Penyanyi rock terkenal, Datuk Ahmad Azhar Othman atau Awie, Timbalan Presiden FDAM yang juga pengarah filem, Datuk Zulkeflie M. Osman dan cucu seniman agung itu, Najua P. Ramlee juga mengejutkan penonton dengan persembahan puisi dan lagu popular P. Ramlee.
Awie yang berbusana pahlawan Melayu lengkap dengan keris mendeklamasikan puisi adaptasi daripada filem Hang Tuah bertajuk Taming Sari Jadi Saksi karya Dr. Zainatul Shuhaida Abdull Rahman serta lagu penutup tirai, Madu Tiga.

Sebelum itu, Zulkeflie muncul dalam video hitam putih membacakan puisi ‘Hancur Badan Dikandung Tanah’ (Ragam P. Ramlee) manakala Najua P. Ramlee pula membuai perasaan dengan persembahan memukau menerusi lagu Tunggu Sekejap (Sarjan Hassan).

- Kafebuzz.my

