02/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

Acha Septriasa jadi pocong mata hijau!

2 min read

Agak lama juga penonton Malaysia tidak menonton aksi pelakon jelita, Acha Septriasa di layar perak.

Aktres yang pernah popular dengan filem Heart pada tahun 2005 ini kembali dengan filem terbaharunya berjudul Mumun arahan Rizal Mantovani.

Penampilan Acha kali ini tidak seperti tanggapan ramai peminat terhadap karakter gadis ayu yang cantik apabila dia memberikan sesuatu yang berbeza menerusi watak sebagai pocong mata hijau.

Filem Mumun mula ditayangkan di pawagam tempatan bermula 22 September 2022.

Filem genre seram yang ditulis Dirmawan Hatta ini mengisahkan Mumun dan Juned yang merupakan pasangan kekasih yang saling mencintai satu sama lain. Bagaimanapun, Mumun meninggal dunia dalam satu kemalangan.

Selepas jenazah Mumun dikebumikan, suatu perkara berlaku apabila Husein iaitu seorang penggali kubur terlupa membuka tali pocong Mumun. Akibat tindakan tersebut, Mumun bangun dari kubur kerana mahu meminta tali pocongnya dibuka.

Acha mengakui cabaran melakonkan watak ini kerana dia juga sebenarnya membawakan dua watak kembar, Mumun dan Mimin yang berasal dari Betawi, Indonesia.

“Pertama kali Rizal mengarahkan saya memakai kanta lekap warna hijau dan kemudian disolek oleh saya sendiri, saya harus jadi Pocong kerana banyak adegan ‘close-up’ yang harus menakutkan Jefri secara langsung.

“Ini semua benar. Ertinya, bukan saya tidak berani melakukannya cuma bebannya berat kerana saya orang yang sensitif sebenarnya. Maka, berlakon filem seram menjadi satu cabaran,” katanya dalam satu video yang dimuat naik di akaun media sosialnya, @septriasaacha di Instagram, baru-baru ini.

Selain Acha, filem ini turut dibintangi Dimas Aditya dan H. Mandra. Filem yang dibawakan oleh Antenna Entertainment Sdn Bhd selaku pengedar filem ke sini mula ditayangkan di pawagam seluruh negara sejak semalam.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *