ABPBH 34 terus relevan sebagai pengukur populariti dan penghargaan karya penggiat seni
2 min read
Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-34 (ABPBH 34) kembali pada tahun ini.
Sesuai dengan budaya norma baharu dan patuh Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), penganjuran kali ini membawa tema #KITABERSAMA, iaitu kesinambungan tema #ABPBHKITA2020 yang diangkat pada ABPBH 33.
Malam kemuncak ABPBH 34 yang dibawakan penaja utama, Xiaomi, akan disiarkan secara langsung di TV3 dan Tonton, termasuk YouTube TV3 dan BH serta laman sesawang ABPBH di www.abpbh.com.my pada 13 November 2021. Ia akan disiarkan secara virtual dengan pematuhan ketat SOP yang ditetapkan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
ABPBH 34 membawa sedikit kelainan pada tahun ini sesuai dengan usia penganjurannya melebihi tiga dekad. Sebanyak 14 kategori utama dan enam kategori online dipertandingkan di mana pemilihan artis kegemaran boleh dilakukan bermula 10 September sehingga 3 Oktober depan menerusi www.abpbh.com.my. Undian boleh dilakukan sama ada secara percuma, pakej langganan BH digital dan cetak serta undian bersama telefon pintar nombor satu di dunia, Xiaomi.

Pengurus Besar, Pemasaran, Komunikasi dan Sokongan Jualan NSTP merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola ABPBH 34, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman berkata, semua perancangan penganjuran ABPBH pada tahun ini dilakukan dengan teliti dan apa juga penyesuaian dan penambahbaikan dibuat, adalah selaras dengan SOP terkini.
“Kami mahu ABPBH terus relevan sebagai pengukur populariti dan penghargaan kepada karya yang dihasilkan penggiat seni. Penganjuran ABPBH 34 pastinya mematuhi segala SOP yang ditetapkan dan pada masa yang sama, tetap memberi impak dan meninggalkan memori manis pada semua artis serta pihak lain yang terbabit,” katanya.
Beliau menambah bahawa segala penyesuaian membabitkan promosi dan publisiti ABPBH 34, termasuk pakej tajaan, kandungan, mekanik penganjuran, pencalonan, pengundian sehinggalah aktiviti bersama artis serta kelab peminat dikendalikan dengan mengoptimumkan pergantungan dan penggunaan platform digital termasuk media sosial.

Datuk Zaini berkata bagi menghangatkan lagi ABPBH pada kali ini, pihak penganjur akan menerbitkan program eksklusif bersama penaja utama, Xiaomi dan artis jemputan yang disiarkan secara virtual, tidak lama lagi. Tarikh dan masa siaran akan diberitahu kelak.
Pada malam kemuncak ABPBH 34, sebanyak 14 kategori utama yang bakal dipertandingkan iaitu Artis Baharu Lelaki Popular, Artis Baharu Wanita Popular, Pelakon Filem Lelaki Popular, Pelakon Filem Wanita Popular, Pelakon TV Lelaki Popular Xiaomi, Pelakon TV Wanita Popular Xiaomi, Penyanyi Lelaki Popular, Penyanyi Wanita Popular, Artis Kolaborasi / Duo / Berkumpulan Popular, Artis Komedi Popular, Artis Versatil Popular, Pengacara TV Popular, Penyampai Radio Popular dan kategori baru iaitu Watak Animasi Popular.
Turut dipertandingkan enam kategori online iaitu Gandingan Serasi Drama Popular, Gandingan Serasi Filem Popular, Anugerah FANtastik Popular, Watak Antagonis Popular, Artis TikTok Popular dan YouTuber Popular. Undian kategori Anugerah FANtastik Popular dan Artis TikTok Popular hanya akan dibuka mulai Oktober depan.

- Kafebuzz.my

