CXF’26 bakal cipta Malaysia Book of Records (MBOR) di Politeknik Besut Terengganu
4 min read
Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) menganjurkan Creative Xperience Festival 2026 (CXF’26) yang akan berlangsung di Politeknik Besut, Terengganu selama tiga hari bermula 21 sehingga 23 September 2026.
Presiden PROFIMA, Khalil Hj Saleh berkata, CXF’26 bukan sekadar festival sebaliknya jambatan antara pendidikan dan industri yang menghubungkan pelajar dengan pemain industri perfileman, seni dan kandungan kreatif.
“Ini adalah kali kedua program ini dilaksanakan dan kesinambungan ini sangat penting untuk menunjukkan kerjasama antara institusi pendidikan dan kreatif boleh dibina secara berterusan, bukan sekadar program sekali sahaja.
“Sebanyak 6 politeknik dan 11 kolej komuniti membawa satu mesej besar iaitu mencungkil dan mengetengah bakat kreatif dari seluruh negara. Kita perlu mencari, membimbing dan memberi ruang kepada bakat ini sebelum mereka hilang daripada radar industri,” katanya dalam satu kenyataan media.
Menurutnya, industri kreatif mesti datang kepada pelajar, bukan hanya menunggu pelajar datang kepada industri.
“Sebab itu kehadiran penggiat perfileman, seni dan pemain industri dalam program ini amat penting. Kita bukan hanya mahu pelajar belajar sebaliknya kita mahu mereka menimba pengalaman industri sebenar.
“Aktiviti seperti bengkel, sesi perkongsian dan jaringan industri memberi mereka kemahiran, pengalaman, portfolio dan keyakinan. Bagi PROFIMA dan penggiat industry kreatif, tugas kita bukan sekadar berkongsi pengalaman karya tetapi melahirkan generasi yang akan meneruskan industri.
“Kita perlu memandu dan membuka pintu kepada generasi baharu. Pelajar hari ini adalah tenaga kerja kreatif pada masa depan. Mereka boleh menjadi penulis, pengarah, pelakon, kru produksi, editor, juruanimasi, penerbit dan usahawan kreatif,” katanya.
Tambahnya, program sebegini tidak hanya dilihat sebagai aktiviti semata-mata tetapi menjadi pelaburan bakat.
“Setiap ilmu dan pengalaman yang diberikan hari ini boleh menghasilkan tenaga profesional untuk industri pada masa akan datang. Kepada FINAS, kami berharap sokongan dana dapat diberikan untuk menjayakan bengkel pembangunan industri sepanjang CXF’26.
“Sokongan FINAS bukan sekadar bantuan, program ia adalah pelaburan kepada bakat dan masa depan industri perfileman Malaysia. Industri kreatif tidak akan berkembang hanya dengan menghasilkan lebih banyak karya sebaliknya apabila kita mempunyai lebih ramai manusia yang berkualiti untuk menghasilkan karya tersebut,” katanya.

Khalil menegaskan pembangunan ekosistem perlu diambil serius, bukan sekadar menganjurkan sesebuah program.
“Pendidikan menyediakan bakat, industri pula memberikan pengalaman dan agensi seperti FINAS membantu dari aspek sokongan serta hala tuju. CXF’26 memberi manfaat kepada pelajar untuk mencari ilmu dan mentor serta membina jaringan dan mencari peluang.
“Kepada industri, jangan hanya tanya apa yang generasi muda boleh berikan kepada industri. Tanya juga apa yang industri boleh berikan kepada generasi muda. Kalau kita mahu industri perfileman Malaysia mempunyai masa depan, kita mesti mula membina manusianya hari ini,” katanya.
Majlis Pra Pelancaran CFX’26 dirasmikan oleh Pengarah Bahagian Kurikulum, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Kementerian Pendidikan Tinggi, Hilmun Mohamed di Putrajaya, baru-baru ini. Hadir sama, Timbalan Pengarah (Akademik), Politeknik Besut Terengganu, Saifuddin Semail.
CXF’26 membawa tema Ulir & Ukir: Memperkasakan Warisan Seni dan Budaya Menerusi Inovasi Digital memberi tumpuan khusus kepada pemeliharaan dan pemodenan seni warisan seperti batik yang digarap menerusi reka bentuk fesyen dan kraf tempatan dengan menyerapkan elemen teknologi digital terkini sekaligus melahirkan graduan TVET yang berdaya saing, kreatif dan kompeten di peringkat global.
Politeknik Besut Terengganu menjadi tuan rumah untuk penganjuran festival kali ini yang menghimpunkan penggiat industri, pelajar dan peminat seni dan reka bentuk dalam satu platform inspirasi, pendidikan dan perkongsian teknolgi terkini.
Antara pengisian utama dibawa sepanjang program selama tiga hari ini termasuk projek mencipta rekod Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi ‘Glow Batik Big Puzzle’, pertandingan Kecerdasan Buatan (AI) iaitu ‘Battle of the Prompt’, pertunjukan fesyen batik ‘Batik Showcase & Fashion Runway’ dan pertandingan E-Sukan – ‘Mobile Legends & PUBG Mobile’.

Selain itu, wacana akademik dan industri turut diadakan menerusi ‘Creative Insight Digest (CID 2026)’dan ‘Marketplace & Booth’ Keusahawanan Pelajar bertujuan merancakkan ekosistem industri kreatif tempatan.
CXF’26 menyasarkan pelajar sekolah menengah, pelajar IPTA dan IPTS, penggiat industri kreatif serta peminat seni budaya yang dijangka menarik lebih 3,000 pengunjung.





hari bermula 21 sehingga 23 September 2026. (Foto: JPPKK)
- Kafebuzz.my





