24/08/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

TV AlHijrah semarakkan cinta Rasul dan jiwa patriotik

3 min read

TV AlHijrah menyemarakkan bulan Ogos hingga September 2026 dengan rangkaian pengisian khas sempena Maulidur Rasul, Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia menerusi tujuh program yang membawa mesej kecintaan kepada Rasulullah SAW, perpaduan, keharmonian serta kecintaan kepada tanah air.

Kempen Maulidur Rasul bertemakan “MADANI Dihayati, Ummah Diberkati” berlangsung dari 21 hingga 28 Ogos ini, manakala Kempen Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia bertemakan “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati” bermula 29 Ogos hingga 16 September depan.

NUR26 Hijrah Malam Cinta Rasul akan disiarkan pada 25 Ogos 2026.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata, kedua-dua kempen itu disusun sebagai kesinambungan nilai yang membawa penonton daripada penghayatan sunnah dan akhlak Rasulullah SAW kepada penerapannya dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

“Rasulullah SAW telah menunjukkan bahawa sebuah masyarakat yang kukuh perlu dibina berasaskan kasih sayang, amanah, keadilan, toleransi dan penghormatan terhadap sesama manusia.

“Melalui kempen ini, TV AlHijrah mahu mengajak penonton mengenali, mencintai dan mencontohi Rasulullah SAW, seterusnya mengamalkan akhlak Baginda dalam memelihara perpaduan dan kesejahteraan negara,” katanya dalam satu kenyataan media.

Namanzee Harris

Antara pengisian utama Kempen Maulidur Rasul ialah Jejak Cinta Rasul, sebuah kapsul santai yang mengetengahkan amalan sunnah Rasulullah SAW secara praktikal dan relevan dengan kehidupan moden.

Program yang menampilkan bakat dalaman TV AlHijrah itu bersiaran setiap Isnin hingga Ahad jam 7:25 malam, bermula 10 Ogos lalu.

Jejak Cinta Rasul

Kemuncak pengisian sempena Maulidur Rasul diteruskan menerusi NUR26 Hijrah Malam Cinta Rasul, sebuah program istimewa hasil kerjasama strategik antara Istana Budaya dan TV AlHijrah yang menghimpunkan pelbagai elemen pengisian dalam satu pentas termasuk tausiyah, selawat dan persembahan nasyid.

Program yang sarat dengan mesej kecintaan dan kerinduan kepada Rasulullah SAW itu menampilkan Ustaz Husaini Mahmur, Jalal Zaiki, Inteam, Hijjaz, Zayne, Ustazah Aisyah Ba’in, The Helmi’s, Kumpulan Maqari serta keluarga Ustaz Azraie Abdul Hak. NUR26 Hijrah Malam Cinta Rasul akan disiarkan pada Selasa, 25 Ogos ini, jam 9 malam.

Program menarik di TV AlHijrah bersempena sambutan hari Maulidur Rasul.

Turut disediakan ialah Quran@114 Khas Maulidur Rasul pada 25 Ogos ini serta Quran@114 Khas Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini mengangkat tema kecintaan kepada Rasulullah SAW melalui tadabbur ayat-ayat al-Quran berkaitan akhlak, sirah serta peranan Baginda sebagai rahmatan lil ‘alamin.

Pengisian istimewa diteruskan menerusi Kempen Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia dengan Podcast 3 in 1, sebuah program bual bicara santai yang menggabungkan Ustaz Don, Datuk Profesor Dr. Mohd Farid Ravi Abdullah dan Adam Corrie.

Podcast 3 in 1

Program tersebut membawa mesej Islam, perpaduan dan kecintaan kepada Malaysia melalui pendekatan dakwah yang inklusif, mesra dan penuh hikmah. Podcast 3 in 1 bersiaran setiap Sabtu jam 8:30 malam, bermula 15 Ogos lalu.

TV AlHijrah turut mempersembahkan Kapsul Ulama Kemerdekaan, sebuah program yang mengangkat kisah perjuangan ulama yang menjadi pemangkin kepada kemerdekaan dan pembinaan negara.

Dikendalikan oleh Ustaz Rozi Harun, program ini akan disiarkan setiap Isnin hingga Khamis jam 7:25 malam, bermula 7 September 2026.

Program kapsul Sebarkan Salam.

Semangat kecintaan kepada Rasulullah SAW dan tanah air turut disatukan menerusi program Hijrah Berselawat Uniform yang kembali bergema bersempena sambutan bulan kemerdekaan.

Istimewa kali ini, program tersebut menghimpunkan wakil badan beruniform negara untuk bersama-sama berselawat dan berqasidah dalam seragam masing-masing, sekali gus menampilkan sisi kerohanian, disiplin, pengorbanan dan semangat patriotisme anggota yang berkhidmat mempertahankan keselamatan serta kedaulatan negara.

Menampilkan kumpulan Inteam bersama wakil daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Tentera Darat Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta Kor Agama Angkatan Tentera, Hijrah Berselawat Uniform akan disiarkan pada Ahad, 30 Ogos ini, jam 9 malam.

Melengkapi rangkaian pengisian tersebut ialah kapsul Sebarkan Salam yang mengetengahkan nilai taayush atau keharmonian hidup bermasyarakat melalui interaksi positif antara masyarakat Muslim dan bukan Muslim.

Menerusi aktiviti harian seperti riadah, makanan, hobi dan kegiatan komuniti, program ini memperlihatkan bagaimana masyarakat daripada latar belakang berbeza dapat berinteraksi, bekerjasama dan membina persefahaman dalam suasana yang harmoni.

Program yang menampilkan Fahmi Zainal, Ady Huzaidi dan Daod Nurdin itu bersiaran setiap Isnin hingga Ahad jam 6:55 petang, bermula 24 Ogos ini.

Menurut Namanzee, keseluruhan program tersebut selaras dengan peranan TV AlHijrah sebagai stesen penyiaran Islam yang menyampaikan ilmu dan menyatukan ummah.

“Kecintaan kepada negara perlu dibina berasaskan kefahaman, penghormatan dan rasa tanggungjawab. Kemerdekaan yang dinikmati hari ini merupakan amanah untuk kita terus memelihara keamanan, keharmonian dan kesejahteraan negara.

“TV AlHijrah percaya bahawa dakwah yang berkesan ialah dakwah yang dapat dilihat melalui akhlak dan dirasai manfaatnya oleh seluruh masyarakat. Semangat Malaysia MADANI juga perlu diterjemahkan melalui sikap saling menghormati, menyantuni kepelbagaian dan bersama-sama menyumbang kepada kesejahteraan negara,” katanya

.Penonton boleh menyaksikan rangkaian program khas sempena Maulidur Rasul, Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia menerusi saluran TV AlHijrah serta platform digital rasmi TV AlHijrah.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *