“Apa yang datang selepas itu, saya syukuri” – Siti Nurhaliza bagi penjelasan terima ijazah kehormat
2 min read
Mengecapi pelbagai anugerah dan pencapaian dalam hidup, sudah cukup meletakkan Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin sebagai ikon industri seni berjaya.
Bakat seni yang ditonjolkan sejak 30 tahun lalu bukan suatu yang mudah untuk dihitung apatah lagi persembahannya sentiasa dinantikan ramai peminat. Ke mana saja, Siti membuat persembahan sudah pasti peminat setia menunggu.
Tahun 2026 menyaksikan karier seni Siti terus mendaki ke puncak tinggi apabila dianugerahkan Ijazah Kehormat Sarjana Seni dalam Seni Kreatif dan Media oleh Sunway University pada 23 Julai lalu. Di sebalik pencapaian terbahrunya itu, Siti mengakui persepsi segelintir pihak terhadapnya untuk menerima anugerah tersebut dipersoal.
“Tahun lalu pihak Sunway University menghantar surat kepada saya untuk pengiktirafan ini. Saya dan pengurusan mengundang wakil Sunway University ke pejabat dan bertemu, berbincang serta mendengar sendiri dari mereka, kenapa ijazah kehormat ini diberikan kepada saya.
“Saya tahu, setiap kali saya menerima atau dianugerahkan sesuatu dari institusi akademik, akan timbul ‘kata-kata’ yang sama. Saya rungkaikan di bawah ini supaya semua faham tentang ijazah kehormat yang saya terima semalam,” katanya dalam status yang dikongsi di media sosial, semalam.

Siti menjelaskan maksud Ijazah Kehormat atau Honorary Degree merujuk anugerah khas yang dianugerahkan oleh sesebuah universiti tanpa perlu mengikut pengajian akademik secara formal.
“Ia diberikan sebagai tanda penghormatan tertinggi kepada individu yang telah memberikan sumbangan luar biasa, luar biasa impaknya, dan berterusan dalam bidang tertentu serta masyarakat,” katanya.

Ujarnya, pengiktirafan dalam bidang Seni Kreatif dan Media pula mengiktiraf peranan dan sumbangan bakat, pencapaian mutu seni, kepimpinan, serta impak seniman dalam meletakkan penanda aras industri muzik, seni persembahan, dan media tempatan mahupun antarabangsa.
“Selebihnya, apa jua yang saya terima, saya sendiri tak pernah terfikir kerana saya hanya menjalankan tugas saya selama ini, apa yang datang selepas itu, saya syukuri,” katanya.
- Kafebuzz.my

