23/05/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

Ooi Tianjia dan Ng Xin Yi juara Idol Bintang Baharu ToYm

3 min read

Peserta Ooi Tianjia berusia 17 tahun berjaya menawan hati juri dan penonton apabila diumumkan sebagai Juara Idol Lelaki, Pertandingan Idol Bintang Baharu ToYm.

Bagi kategori wanita dimenangi Ng Xin Yi yang tampil menyerlah dengan daya tarikan tersendiri hingga mendapat sokongan peminat yang luar biasa, dinobatkan sebagai Juara Idol Perempuan, Lebih manis, kejayaan gadis berusia 23 tahun itu turut membawa pulang Anugerah Paling Popular menjadikan satu-satunya pemenang berganda pada malam tersebut.

Ooi Tianjia meraih Juara Idol Lelaki.

Pertandingan Idol Bintang Baharu ToYm dianjurkan oleh Thousands of Years Media (ToYm) melabuhkan tirainya baru-baru ini dengan penuh gemilang pada Malam Kemuncak yang sarat dengan sinaran bakat baharu, gaya tersendiri, dan persembahan bertenaga daripada barisan finalis paling menyerlah.

Pengasas Thousands of Years Media dan SunStrong Entertainment, Jment Lim dalam ucapan pembukaan menzahirkan penghargaan atas sambutan hangat terhadap drama mikro sulung ToYm, In Character. Beliau menyuarakan keyakinan tinggi terhadap masa depan pasaran drama mikro tempatan dan mengumumkan rancangan untuk menerbitkan lebih lima siri drama mikro baharu dalam bahasa Cina dan Melayu sebagai usaha mempercepat pertumbuhan kandungan asli tempatan sambil membina generasi baharu bakat lakonan dan pencerita digital.

Persembahan bertenaga daripada Ng Xin Yi yang memenangi Juara Idol Perempuan.

Acara Malam Kemuncak yang berlangsung di Andaman Grand Ballroom, Kuala Lumpur berlangsung selama lima jam menampilkan 24 peserta akhir yang bersaing melalui tiga segmen utama iaitu persembahan bakat, lakonan berkumpulan dan sesi soal jawab secara spontan.

Para peserta juga dibahagikan kepada empat kumpulan dan memulakan pertandingan dengan video pengenalan diri selama 15 saat, diikuti persembahan solo berdurasi sehingga dua minit. Mereka kemudiannya menghadapi cabaran Golden 10 Seconds merupakan segmen ringkas yang memberi peluang kepada peserta untuk menambat hati penonton secara langsung, sekali gus meningkatkan keterujaan dan kemeriahan suasana dewan.

Ooi Tianjia berjaya memikat hati juri dan penonton untuk bergelar juara.

Setiap kumpulan turut membawakan sketsa lakonan berdurasi 10 minit, mempamerkan keupayaan lakonan dan keserasian berpasukan. Hos majlis, Owen Yap dan Chrystina Ng mengendalikan sesi temu bual spontan bagi menilai daya fikir pantas, personaliti dan penguasaan pentas para peserta sekali gus menyerlahkan lagi unsur persaingan dan memperkayakan nilai hiburan sepanjang acara.

Ooi Tianjia tampil menyerlah dengan gabungan persembahan penuh emosi dan bertenaga bermula dengan lagu balada ciptaan sendiri sambil bermain gitar, sebelum beralih ke tarian Latin rancak menerusi lagu Billie Jean. Gabungan vokal, muzik dan keyakinan pentas yang mantap membawanya ke puncak kejuaraan dan menerima wang tunai RM30,000, kontrak bakat bersama ToYm dan trofi edisi terhad.

Sherlyn Poh diumumkan sebagai naib juara.

Ng Xin Yi pula menampilkan tarian moden yang kemas dan bergaya di mana persembahan konsistennya mendapat sokongan padu penonton membolehkannya merangkul Anugerah Paling Popular. Gadis itu membawa pulang hadiah keseluruhan bernilai RM40,000, kontrak bakat ToYm dan trofi eksklusif.

Naib Juara dimenangi oleh Aeron Jeszel Iskandar (kategori lelaki) dan Sherlyn Poh (perempuan), masing-masing menerima RM20,000, kontrak bakat ToYm dan trofi manakala Chee Lim Peng dan Bell (Nabila Balqis) dinobatkan sebagai Naib Juara Kedua dengan hadiah wang tunai RM15,000, kontrak bakat dan trofi.

Tiga peserta menerima Anugerah Saguhati bagi setiap kategori iaitu masing-masing menerima RM5,000, kontrak bakat ToYm dan trofi. Bagi kategori Idol Lelaki menjadi milik Iyad Sanim dan Lee Yee Keat (Purple YK) turut menerima Anugerah Bakat Terbaik bersama hadiah RM10,000 serta Kayson Loh Zhong Kai memenangi Anugerah Personaliti Media Sosial Paling Popular dengan hadiah RM10,000. Kategori Idol Perempuan dimenangi Jennifer Ong Wei Ying, Carmen Lee Jia dan Charmaine Chan Yun Xuan.

Lee Yee Keat atau Purple YK menerima Anugerah Bakat Terbaik.

Acara tersebut turut diserikan dengan persembahan istimewa daripada Fatimah Noryyah yang merupakan artis pertama yang dilancarkan di bawah label Thousands of Years Media. Penyanyi serba boleh ini fasih dalam tiga bahasa menampilkan vokal bertenaga dan persembahan penuh karisma menerusi tiga buah lagu, Gemilang, Jumping Machine dan This Is Me.

Kemunculan semula 24 finalis dalam segmen penutup sesi penghargaan menandakan kemuncak malam tersebut yang berakhir dalam suasana penuh sorakan, emosi dan kegemilangan yang menjadi satu peristiwa bersejarah dalam dunia hiburan tempatan.

ToYm kekal teguh sebagai peneraju dalam mencungkil dan membina bakat baharu beriltizam memperkasa generasi muda, memperkukuh identiti penceritaan tempatan, dan menjulang nama Malaysia di persada hiburan serantau.

Fatimah Noryyah merupakan artis pertama label Thousands of Years Media.
Barisan pemenang Pertandingan Idol Bintang Baharu ToYm.
  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *