03/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

VIP tampil Setia, kisah wanita dikianati cinta

2 min read

Band alternatif pop rock yang kian mendapat perhatian, Voice In Public (VIP), kembali menggegarkan industri muzik tempatan dengan single terbaharu mereka, Setia.

Read more: VIP tampil Setia, kisah wanita dikianati cinta

Lagu ini merupakan hasil kolaborasi pertama mereka dengan komposer dan penulis lirik tersohor, Klangit, dan juga single kedua mereka bersama Alternate Records & Talent.

Setia membawa genre pop rock yang membangkitkan emosi mendalam. Lagu ini mengetengahkan kisah seorang wanita yang dikhianati cinta tetapi tetap setia kepada janji manis yang akhirnya menjadi racun hati. Persembahan vokal mantap, Dyeana Halim sebagai teraju utama bersama petikan gitar, Awie dan Daha yang penuh jiwa serta rentak bass daripada Rahul yang mengalun melodi, Setia membawa pendengar menyelami pengalaman muzik yang penuh emosi dan berbekas di hati.

Bagi VIP, mereka mengakui bukan mudah untuk mengekalkan emosi yang konsisten sepanjang penyampaian lagu ini.

“Kami berharap Setia akan menyentuh hati semua dan menjadi karya yang dikenang. Lagu ini adalah tentang cinta dan kesetiaan yang mampu mengubat hati-hati yang terluka,” katanya dalam satu kenyataan media.

Ujarnya, peluang membawakan karya besar seperti ini menjadi penghormatan sangat bermakna buat mereka.

“Kami sangat terharu dan bersyukur diberi kepercayaan untuk menyampaikan lagu ciptaan Klangit, sebuah band yang mempunyai nama besar dalam industri,” kata Dyeana.

Jelasnya, proses rakaman dipermudahkan dengan bimbingan Klangit, khususnya Ary dan Haris, yang membawa pengalaman hampir dua dekad sebagai pemuzik profesional.

“Mereka banyak berkongsi ilmu dan memberikan sokongan sepanjang proses rakaman. Alhamdulillah, persiapan rapi daripada Klangit membantu kami memberikan yang terbaik,” ujarnya.

Komposer Klangit menggambarkan VIP sebagai band yang ‘padu mantap mantul’ dengan keunikan jiwa mereka yang bersatu dengan lagu ini.

“Lagu ini wajib didengari kerana alunan vokal Dyeana sangat mantap. Mesej kami sangat jelas, jangan sia-siakan seorang yang setia,” kata Ary bersama Haris.

Klangit optimis dengan penerimaan masyarakat terhadap lagu ini dan mengharapkan VIP terus melangkah lebih jauh. Setia kini tersedia di semua platform digital termasuk Spotify, Apple Music, dan YouTube Music.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *