Bayar tol sambil membantu B40
2 min read
Amanat Lebuhraya Rakyat (ALR) dengan kerjasama Payments Network Malaysia (PayNet) melancarkan kempen Sentuhan Ikhlas.
Ia merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di mana setiap transaksi tol dengan MyDebit memberi peluang untuk membantu keluarga B40 di seluruh Malaysia.
Melalui inisiatif ini, pengguna lebuh raya Kumpulan ALR – KESAS, LDP, SMART dan SPRINT kini boleh menyumbang dengan mudah di mana-mana 152 lorong tol MyDebit untuk meringankan beban golongan yang memerlukan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ALR, Sazally Saidi berkata mekanisme Sentuhan Ikhlas menyumbang kepada kebaikan secara kolektif melalui transaksi tol harian.
“Setiap transaksi MyDebit di lebuh raya-lebuh raya kami memberi impak keluarga yang memerlukan. Kami berharap inisiatif ini akan memberi sumber inspirasi kepada lebih ramai pengguna untuk bersama-sama kami menyertai kempen Sentuhan Ikhlas ini,” katanya dalam satu kenyataan media.

Tambahnya, kempen ini mempunyai matlamat untuk menyumbang sejumlah RM500,000 kepada Yayasan MyKasih setelah mencapai 5 juta transaksi MyDebit dalam tempoh dua bulan.
“Setiap pembayaran tol MyDebit yang dibuat di keempat-empat lebuh raya ini menyumbang kepada sasaran transaksi ini di mana setiap kali pengguna membuat transaksi, PayNet akan menyumbang dana kepada Yayasan MyKasih.
“Sumbangan RM500,000 ini akan membantu 1,000 keluarga berpendapatan rendah di Malaysia untuk membeli makanan dan keperluan isi rumah melalui penggunaan MyKad mereka,” katanya.
Dana akan diagihkan secara berperingkat mengikut pencapaian transaksi MyDebit iaitu RM100,000 selepas 1 juta transaksi dicapai; RM150,000 pada 2.5 juta transaksi dicapai; dan RM250,000 apabila mencapai 5 juta transaksi.
Menerusi kempen Sentuhan Ikhlas, pemandu bukan sahaja menyokong tujuan murni tetapi juga mendapat manfaat dengan kaedah pembayaran yang mudah dan selamat dengan menggunakan MyDebit di lebuh raya-lebuh raya ini.
Penukaran kepada MyDebit adalah sangat mudah kerana setiap kad ATM adalah kad MyDebit dan pemandu juga dapat menikmati kelebihan dilindungi dengan penyulitan data peringkat bank dengan sistem pengesanan penipuan dan kemudahan pembayaran tol yang cepat dan mudah tanpa perlu penambahan nilai kad.

Pengarah Kanan, Bahagian Komersial, PayNet, Azrul Fakhzan Mainor pula berkata, PayNet teruja melihat MyDebit diintegrasikan dalam kehidupan seharian para pemandu, sambil menyumbang kepada komuniti yang kurang berkemampuan.
“Melalui Sentuhan Ikhlas, setiap transaksi MyDebit membuka peluang untuk kita bersama-sama mencipta impak positif,” katanya.
Kempen Sentuhan Ikhlas menjadi cetusan inspirasi yang baik kepada semua pengguna bahawa tindakan kecil juga boleh memberi impak yang ketara. Amanat Lebuhraya Rakyat dan PayNet menyeru semua pemandu untuk turut serta menjadi sebahagian daripada inisiatif bermakna ini.
Maklumat lanjut berserta kemaskini berkala tentang kemajuan kempen boleh didapati di www.sentuhanikhlas.com
- Kafebuzz.my

