Nasi lemak percuma di Piknik Hari Malaysia
2 min read
Rakyat Malaysia berpeluang menikmati menu kegemaran ramai, nasi lemak dan teh tarik secara percuma bersempena acara Piknik Hari Malaysia yang akan diadakan di Taman Botani Putrajaya pada hari ini.
Acara ini terbuka kepada semua dari jam 8 pagi sehingga 12 tengah hari. Lebih menarik, pengunjung akan dihiburkan dengan persembahan artis tempatan dan pelbagai aktiviti-aktiviti hiburan padang.
Penganjuran acara ini merupakan kemuncak kepada kempen Manis Pahit Bersama, Malaysia Paling Best anjuran Media Prima Berhad bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 dan juga Hari Malaysia pada tahun ini.
Dalam satu kenyataan, kempen Manis Pahit Bersama, Malaysia Paling Best bertujuan menyemarakkan rasa bangga dan perpaduan dalam kalangan rakyat dari semua lapisan masyarakat dan memberi peluang kepada jenama untuk berhubung dengan pengguna melalui semangat patriotisme serta warisan bersama yang menjadi identiti sebagai rakyat Malaysia.
“Berikutan kejayaan kempen tahun 2023 yang memberi tumpuan kepada cinta terhadap kuih tempatan, edisi tahun ini membawa kita menyelami lebih dalam tentang warisan kulinari dan budaya Malaysia yang terbaik.
“Manis Pahit Bersama, Malaysia Paling Best meneroka keunikan cita rasa dan tradisi negara melalui eksplorasi yang menarik dan penuh warna. Rakyat Malaysia dijemput untuk berkongsi pengalaman “Paling Best” mereka, dengan memberi tumpuan kepada kepelbagaian jenis masakan yang lazat dan beraneka jenis di negara ini,” katanya.
Kempen ini berakhir dengan sambutan Piknik Hari Malaysia di Taman Botani Putrajaya dan pertunjukan Makanan Paling Best Malaysia akan menjadi acara utama dalam suasana semangat kebangsaan yang penuh warna-warni.
- Kafebuzz.my



