“Sekitar Jalan Masjid India dan Kuala Lumpur adalah terkawal dan selamat” – Datuk Bandar Kuala Lumpur
2 min read
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa insiden tanah jerlus berdekatan Masjid India yang dijalankan sejak Jumaat lalu diteruskan pada hari ketiga.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr Dr Maimunah Mohd Sharif berkata, kerja kerja pencarian semula diteruskan pada hari ini di manhole 5 (berdekatan Agro Bank) dan manhole 6 (berdekatan Bulatan Kinabalu) oleh pasukan penyelamat di lapangan iaitu Polis DiRaja Malaysia (PDRM) , Jabatan Bomba dan Penyelamat, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) .

Menurutnya, pasukan penyelamat Bomba juga sedang menjalankan carian di endpoint iaitu di Loji Pantai Dalam manakala pihak IWK akan menjalankan kerja kerja flushing di hiliran (downstream) dan mempunyai mapping lengkap serta bersetuju menjalankan integrity test di kawasan terbabit.
“Saya telah mempengerusikan mesyuarat penyelarasan bersama agensi sahabat sebentar tadi dan berdasarkan kepada maklumat yang diperolehi situasi sekitar Jalan Masjid India khasnya dan Kuala Lumpur amnya adalah terkawal, selamat untuk dikunjungi dan warga kota boleh meneruskan rutin harian seperti biasa (business as usual),” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Tambahnya, DBKL telah mengaktifkan task force bersama pakar pakar dalam bidang SAR iaitu PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat, dan APM termasuk Jabatan Mineral dan Geosains.
“Sementara itu, berhubung aduan mengenai kebocoran paip air pihak Air Selangor telah menjalankan kerja-kerja pembaikan dan kerja-kerja tersebut telah siap sepenuhnya.
“Waris mangsa yang masih berada di Malaysia akan diberikan bantuan daripada segi penginapan, makanan dan sesi kaunseling. Pihak PDRM juga akan bekerjasama dengan pihak Pesuruhjaya Tinggi India
bagi lanjutan visa,” katanya.

Dimaklumkan, sesi sidang media akan diadakan secara berkala dengan kekerapan 3 kali sehari dan kenyataan media akan dikeluarkan dari semasa ke semasa bagi memastikan maklumat yang tepat
dapat disalurkan kepada warga kota.
“DBKL selaku PBT yang bertanggung jawab kepada bandar raya Kuala Lumpur komited dalam usaha
pencarian mangsa bersama agensi sahabat yang lain,” katanya.
- Kafebuzz.my

