25/05/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

[Nota Editor] Nasib pengamal media zaman AI, rupanya masih ada majikan kejam!

3 min read

Tarikh keramat 29 Mei tiba lagi.

Mana lebih penting antara memperingati hari perginya Seniman Agung, Tan Sri P Ramlee atau Hari Wartawan Nasional (HAWANA)?

Keduanya memberi signifikan sangat penting pada masyarakat khususnya penggiat seni dan pengamal media yang berkongsi tarikh keraian yang sama. Hari ini genap 51 tahun, P Ramlee meninggal dunia di mana karyanya terus ‘bernyawa’ kerana ia dipertontonkan berulang kali di televisyen.

Seniman legenda yang diminati ramai tak kira bangsa turut menjadi idola ramai penggiat seni mahupun masyarakat yang menilai karya-karya filem yang dihasilkan penghibur serba boleh itu membawa mesej mendalam terhadap nilai adab dan hidup bermasyarakat.

Apa lagi yang boleh kerajaan atau pihak tertentu mengabadikan sejarah dan jasa P Ramlee. Bintang tertera nama P Ramlee ala ‘Hollywood Walk of Fame’ masih tergantung di lorong menuju kafe Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Hulu Kelang, Ampang, Selangor.

Royalti ‘daddy’ sudah tiada sebab melebihi tempoh kontrak 50 tahun biarpun Anakku Sazali masih hidup. Sazali kini berusia 65 tahun masih menagih simpati kerajaan agar bayaran royalti ‘daddy’ diteruskan. Bagi Sazali, duit royalti tersebut sangat penting untuk kelangsungan hidup dan membiayai kos rawatan dirinya dan isteri yang semakin uzur. Apakah kesudahannya?

Majikan oh majikan!

Bab cerita kedua, HAWANA disambut meriah pada tahun ini apabila beberapa wakil media arus perdana diterbangkan dari Semenanjung menuju Kuching, Sarawak yang menjadi tuan rumah. Tahniah kepada rakan media yang diberi peluang atas jemputan ke sana.

Sebenarnya dalam zaman digital yang pesat berubah, masih ramai pengamal media yang dipinggirkan daripada jemputan media. Mungkin mereka tidak mempunyai Kad Perakuan Media lantas nombor telefon mereka selama ini ada dalam group WhatsApp dibuang begitu saja dan tiada lagi mendapat jemputan menerusi emel.

Banyak isu bila bercakap soal media dari aspek peranan dalam membantu hebahan agenda kerajaan, kerjasama strategik antara organisasi pengamal media juga dengan kerajaan dan isu tidak kurang penting ialah kebajikan pengamal media yang bertugas.

Percaya atau tidak, pada zaman moden tahun 2024 rupanya masih ada majikan yang memperlekeh profesion pengamal media apabila dibayar gaji lebih rendah berbanding wartawan kadet zaman sekarang. Lebih menyedihkan gaji yang sepatutnya dianggap sebagai gaji asas atau gaji pokok rupanya ‘dipancung’ atas alasan Indeks Prestasi Utama (KPI) secara harian yang dikenakan. Malah, lebih malang pengamal media itu diberi surat penamatan kontrak sesuka hati oleh majikan.

Mengapa wujud majikan tidak berhati perut sebegini yang secara tidak langsung memberi gambaran mereka menghina tugas pengamal media yang bekerja secara profesional. Tindakan majikan sebegini menunjukkan mereka sebenarnya tidak faham apakah tugas pengamal media dan bayaran yang sepatutnya dibayar.

Sudah tiba masanya jika kerajaan menaikkan skim gaji penjawat awam, begitu juga gaji pengamal media dinaikkan dan dikawal selia dengan cara lebih baik. Pengamal media tidak seharusnya ditindas dengan gaji rendah apatah mereka adalah golongan profesional dan berpengalaman.

Jika tangga gaji pengamal media ini diperhalusi dan ‘ditegur’ oleh kerajaan, apakah tindakan tegas yang harus dikenakan terhadap majikan kejam yang menindas pengamal media. Jika suatu ketika dulu, wartawan akhbar mempunyai kesatuan seperti Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) yang sentiasa berjuang soal gaji dan insentif tetapi pengamal media zaman AI hanya bergerak sendiri.

Mungkin kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi boleh mewujudkan satu platform aduan khusus untuk pengamal media melaporkan apa jua isu, kes salah laku majikan mahupun pandangan mereka secara lebih telus.

Apa jua rintangan datang, mereka yang berjiwa pengamal media akan terus berkhidmat bukan hanya mencari sesuap nasi tapi demi minat mendalam sebagai pelapor berita.

Selamat menyambut Hari Wartawan Nasional.

Artikel ini ditulis oleh Elrafaei Sapi merupakan perunding media dari Kafebuzz Media, penganalisis hiburan, pengamal media profesional yang berpengalaman luas dalam bidang kewartawanan lebih 20 tahun, pernah memenangi pelbagai anugerah kewartawanan dan juga Pengasas serta Editor Pengurusan portal berita Kafebuzz.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *