Sheriff cipta sejarah di Indonesia dan Hong Kong
2 min read
Filem genre aksi terbaik, Sheriff terus meraih pencapaian membanggakan.
Meskipun masih ditayangkan di sini, ia bukan halangan untuk filem arahan Syafiq Yusof ini mencatat pencapaian tersendiri apabila menjelajah ke luar negara.
Filem lakonan hebat Zul Ariffin, Syafiq Kyle dan Datuk Aaron Aziz selaku pelakon watak utama mula menembusi pasaran filem di Indonesia.

Menurut Syafiq Yusof, filem terbitan Skop Productions Sdn Bhd bersama Astro Shaw ini mula ditayangkan di 100 pawagam iaitu CGV Cinemas di negara jiran itu bermula 23 Mei lalu.
Selepas malam gala juga diadakan di Jakarta baru-baru ini, filem yang mencatat kutipan RM62.5 juta di sini mula menjadi bualan penonton di sana yang memberikan pujian, ucapan tahniah dan kagum dengan hasil karya asal Datuk Yusof Haslam ini.

Menerusi komen penonton di platform media sosial X, filem Sheriff yang diberi judul berbeza di sana iaitu Sheriff: Narcotics & Integrity mempunyai banyak plot twist yang menghiburkan termasuk dari aspek karakter dan jalan cerita serta dianggap sebagai filem nombor 1 Malaysia ketika ini.
Salah seorang penonton dikenali sebagai @yuliana08cbr memberikan rating 9/10 untuk filem ini manakala @j.octha pula mengucapkan tahniah dan menyatakan ia merupakan filem wajib tonton.

Komen daripada @cineverse_id juga menyatakan industri perfileman Malaysia patut berbangga dengan filem Sheriff meskipun lambakan filem Indonesia, filem ini mampu memberikan kelainan pada penceritaan yang rumit dan twist.
Syafiq Yusof juga menyatakan filemnya ini akan ditayangkan di Hong Kong bermula 6 Jun depan.


- Kafebuzz.my

