10/06/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

Tanyalah Ustaz: Akad 40 rai 40 pengantin

3 min read

Program Tanyalah Ustaz: Akad 40 berjaya menyatukan 20 pasangan asnaf dan kurang berkemampuan.

Berlangsung di Dewan Serbaguna, Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur bermula jam 9 pagi secara berperingkat, seramai 40 pengantin ini terdiri daripada  golongan asnaf, kurang berkemampuan dan mualaf yang masih menjinakkan diri untuk mempelajari tentang agama Islam diraikan dalam sebuah majlis akad nikah yang istimewa.

Golongan asnaf turut diraikan dalam program Tanyalah Ustaz: Akad 40. (Foto: TV3)

Program Tanyalah Ustaz: Akad 40 menampilkan dua pengacara berwibawa dalam program Tanyalah Ustaz, iaitu Tajdid Hadhari sebagai pengacara utama dan Da’i Annas sebagai pengacara belakang pentas manakala Ahmad Fedtri Yahya mengacarakan majlis resepsi pernikahan.

Majlis resepsi sederhana tetapi meriah ini disempurnakan dengan kehadiran jemputan khas, ahli keluarga dan rakan termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Senator Datuk Dr Hj Mohd Na’im Hj Mokhtar dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Kolonel Datuk Hj Mohd Ajib Ismail yang turut serta sebagai jurunikah.

Senator Datuk Dr Hj Mohd Na’im Hj Mokhtar merasmikan program Tanyalah Ustaz: Akad 40. (Foto: TV3)

Acara pernikahan secara beramai-ramai ini adalah inisiatif TV3 bertujuan membantu golongan kurang berkemampuan dalam melaksanakan ibadah perkahwinan dan memudahkan pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga tetapi menghadapi pelbagai cabaran seperti kos perkahwinan yang tinggi.

Ketua Jabatan Pengisian Islam, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad dan juga selaku Penerbit Eksekutif, Ruzmi Kamaruddin berkata, Tanyalah Ustaz: Akad 40 bersempena dengan ulang tahun TV3 tahun ini membuat perancangan dan persiapan dari awal tahun lagi.

“Bagi pihak TV3, kami amat berterima kasih kepada pihak penaja dan juga semua yang terlibat dalam menjayakan program ini. Kami akan terus berusaha menyiarkan program dan acara yang bermanfaat kepada penonton dan masyarakat.

“Dalam masa yang menggembirakan ini, saya turut bersimpati dengan isu yang terjadi di Palestin. Kita juga perlu bantu mengikut kemampuan kita sendiri. Pihak TV3 ada menyediakan Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima bagi sesiapa yang ingin menghulurkan sumbangan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Seramai 40 pengantin bergambar kenangan. (Foto: TV3)

Kerjasama antara TV3 dan JAWI ini mendapat kelulusan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam merealisasikan program ini.

Bagi Mohd Na’im, kolaborasi yang amat baik antara Media Prima Berhad bersama JAWI dalam menzahirkan usaha pemerkasaan kekeluargaan Islam di Wilayah Persekutuan menerusi penjagaan nasab keturunan yang disarankan oleh syarak menerusi lafaz ijab dan qabul sahnya ikatan perkahwinan suami isteri.

Beliau turut berpendapat program ini adalah salah satu usaha untuk menonjolkan nilai-nilai rahmah dan kasih sayang dalam komuniti masyarakat.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan terus berperanan untuk menyokong program pembangunan keluarga ke arah pengukuhan pembentukan masyarakat madani,” katanya.

Antara pasangan pengantin yang diraikan menerusi program Tanyalah Ustaz: Akad 40. (Foto: TV3)

Tanyalah Ustaz: Akad 40, ditaja oleh Efferty, susu yang diformulasikan khas untuk meningkatkan kesuburan wanita.

Pengasas Efferty International Sdn Bhd, Dr Raihana Ismail berkata, pihaknya bersyukur kerana berpeluang menaja majlis Akad 40 sempena ulang tahun ke-40 TV3.

“Saya juga rasa bangga dengan persediaan rapi pihak media prima dan semua yang terlibat sama ada di bahagian depan mahupun di sebalik tabir dalam menjayakan majlis ini. Sebenarnya semua hasil bermula dari perancangan rapi beberapa bulan awal sebelum majlis lagi.

“Asbab itu juga saya memilih untuk menaja program ini kerana saya yakin dan percaya Media Prima mampu menjayakan majlis ini dengan izinNya,” katanya.

Tanyalah Ustaz: Akad 40 bersempena dengan ulang tahun TV3. (Foto: TV3)

Tanyalah Ustaz merupakan program harian yang disiarkan pada setiap pagi di TV3 dan TV9 dengan membawakan segmen-segmen yang menjadi sumber rujukan utama masyarakat Islam di Malaysia dalam mencari pencerahan tentang pelbagai aspek kehidupan Islam.

Program ini terus mendapatkan sambutan hangat daripada penonton setia dengan ahli panel yang terdiri daripada asatizah yang dihormati. Tanyalah Ustaz sentiasa membawakan perbincangan inspirasi pagi terbaik kepada penonton tentang isu semasa dan ilmu berasaskan agama. 

Program Tanyalah Ustaz: Akad 40 yang dirakam ini akan disiarkan pada 8 Jun ini jam 7 hingga 8 malam di TV3 dan boleh di strim secara langsung dalam HD melalui aplikasi Tonton atau www.tonton.com.my.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *