02/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

Syaitan Munafik siap selepas 15 tahun, sasar sejuta penonton

2 min read

Filem Syaitan Munafik lakonan utama Allahyarham Ashraf Sinclair meletakkan sasaran menarik sejuta penonton tempatan.

Pengarah Urusan United Nine Creative (UNC) yang juga Produser, Datuk Mohd Rosdi Shair berkata, beliau berharap filem ini turut menarik dua juta penonton melalui kemunculan dua pelakon negara itu, Dea Lestari dan Tessa Mariska apabila tayangan di Indonesia selepas ini.

“Satu lagi faktor yang mungkin menarik penonton ialah populariti pelakon utama, Allahyarham Ashraf yang meninggal dunia tiga tahun lepas. Saya percaya peminat yang merindui arwah akan menunggu peluang menonton lakonan beliau selain kemunculan pelakon tempatan seperti  Bandi Amok, Mak Mah, S Azli, Munir (Phyne Ballerz), Linda Hashim dan Ramli Salleh,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Mohd Rosdi. (Foto: UNC)

Mohd Rosdi yang juga dikenali sebagai Ray Rusdi berkata, pihaknya juga bercadang menyalurkan sedikit sumbangan kepada waris keluarga pelakon yang meninggal dunia sekiranya filem ini memperoleh kutipan memberangsangkan.

“Selain Ashraf, beberapa tenaga penggiat telah kembali ke rahmatullah iaitu pengarahnya, Majed Saleh serta pelakon S. Shamsuddin dan Maidin. Tenaga penerbitan juga akan menerima imbuhan sekiranya kami berjaya mencapai sasaran kutipan,” tambahnya.

Meskipun mengambil masa 15 tahun untuk disiapkan, Ray Rusdi berkata filem itu masih relevan untuk ditayangkan.

“Saya tidak takut untuk bersaing kerana yakin akan kemampuan cerita bergenre seram yang tidak terlalu berat untuk ditonton dan menghiburkan untuk tontonan seisi keluarga. 

“Tempoh yang lama diambil untuk disiapkan kerana masalah teknikal.  Tapi dengan penambahbaikan aspek teknikal serta sepuluh peratus babak tambahan dengan kos RM300,000 di samping kos asal RM1.6 juta, saya yakin filem ini akan diterima,” katanya.

Mohd Rosdi bersama-sama artis dan pempengaruh dari Indonesia yang diterbangkan oleh TransNusa Air bagi memeriahkan tayangan perdana Syaitan Munafik di Kuala Lumpur, baru-baru ini. (Foto: UNC)

Tambah Mohd Rosdi, walaupun pada asalnya timbul bantahan daripada pelakon kerana isu babak berkemban tetapi babak itu bersesuaian dengan proses menuntut ilmu hitam yang dipaparkan dalam filem itu dan bukan bertujuan mengeksploitasi artis.

“Tiada masalah langsung mengenai perkara itu kerana filem ini memaparkan kisah masyarakat yang sering diceritakan oleh orang tua kita pada masa dahulu. Lembaga Penapis Filem juga telah meluluskan tayangannya dengan potongan lima peratus saja,” jelasnya.

Ray Rusdi berkata selain tayangan di 51 pawagam Malaysia, Syaitan Munafik juga menemui penonton di 10 pawagam di Brunei pada tarikh yang sama tayangan di Malaysia. Bagi tarikh tayangan di Indonesia, ia dijangka bermula pada Januari tahun depan.

“Insya-Allah pelakon dan wartawan Malaysia akan diterbangkan ke sana oleh TransNusa Air yang turut menaja penerbangan 18 artis Indonesia untuk memeriahkan tayangan perdana filem itu di sini pada Isnin lepas,” ujarnya.

Filem terbitan UNC kini ditayangkan di pawagam di seluruh negara sejak kelmarin.

Tessa Mariska.
  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *