02/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

”Bagi kami ini suatu perkara yang tidak masuk akal” – KARYAWAN buat rayuan siasat RPM

2 min read

Aduan sudah dibuat tapi Tribunal Hak Cipta tidak dapat bertindak.

Itu senario yang berlaku apabila Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) membuat aduan kepada Tribunal Hak Cipta sebaliknya tiada tindakan selanjutnya.

Presiden KARYAWAN, Datuk Freddie Fernandez berkata, KARYAWAN amat kecewa dengan keputusan Tribunal Hak Cipta di bawah Kemeterian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tidak meneruskan pendengaran aduan terhadap badan kutipan royalti Recording Performers Malaysia Berhad (RPM) didakwa tidak menjalankan pengagihan royalti dengan betul.

”Baru-baru ini penyanyi legenda Shima telah membuat kenyataan tidak dapat sesen royalti pun walaupun telah menjadi ahli RPM sejak tahun 2021. Tujuan Karyawan memfailkan aduan bertarikh 3 Julai 2023 itu adalah untuk Tribunal Hak Cipta menyiasat dengan begitu dalam tentang sistem pengagihan yang digunakan oleh RPM. Sebelum ini kami banyak dapat aduan dari ahli-ahli bahawa RPM tidak mempunyai sistem pengagihan yang telus,” katanya.

Menurutnya, alasan yang diberikan oleh Tribunal itu untuk tidak meneruskan kes itu ialah di bawah Peraturan Tribunal jika perkara itu tidak  dapat persetujuan daripada penentang iaitu RPM.

“Maka ia tidak dapat diteruskan. Mereka memberitahu kami dalam emel bertarikh 21 Julai 2023 bahawa mereka telah merujuk kepada RPM dan RPM tidak setuju bahawa kes ini diteruskan.

”Bagi kami ini suatu perkara yang tidak masuk akal. Ia ibarat seorang yang duitnya dicuri membuat laporan polis. Polis pula pergi tanya pencuri itu jika mereka boleh teruskan dengan penyiasatan. Apabila pencuri itu kata tak perlu, Polis akan tutup kes dan tidak meneruskan dengan penyiasatan,” katanya.

Freddie menambah, beliau akan mengambil tindakan seterusnya dengan bertemu pihak KPDN untuk membangkitkan isu ini.

”Minggu ini saya akan cuba mengadakan perjumpaan dengan pegawai atasan KPDN untuk failkan rayuan tentang perkara ini. Jika peraturan Tribunal Hak Cipta itu tidak betul, kami berharap pihak KPDN akan bertindak cepat untuk membetulkannya.

“Saya berharap nasib penyanyi seperti Shima dapat dibela dan suatu tindakan cepat dilakukan terhadap RPM kerana tidak menjalankan tugas sebagai badan kutipan royalti yang dilesenkan di bawah KPDN,” katanya.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *