25/05/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

[Nota Editor] Nak bayar RM25,000 atau RM10 juta atau RM1 tabung masjid

2 min read

Jika diberi pilihan sekalipun, dua-dua pun tak nak bayar. Setakat RM1 boleh la. Dua laporan berita ‘panas’ tarik perhatian netizen hari ini.

Read more: [Nota Editor] Nak bayar RM25,000 atau RM10 juta atau RM1 tabung masjid

Sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dikompaun RM25,000 gara-gara menganjurkan konsert tanpa kebenaran manakala cerita paling hebat ialah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan saman oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) tuntut RM10 juta ke atas bekas seorang Naib Presidennya sebab isu pelanggaran syarat bon parti politik itu.

Difahamkan 20 bekas Ahli Parlimen termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti politik itu sain bon sebagai syarat tidak meninggalkan parti. Namun, nasi sudah jadi bubur, akibat tersalah langkah padah menanti.

Sebagai netizen dan masyarakat yang memerhati perangai ahli politik, perkara seperti ini perlu dijadikan iktibar dan contoh teladan yang paling bagus untuk diceritakan pada anak cucu. Jangan ulangi perbuatan lompat parti bila sudah diberi kepercayaan rakyat hingga menang pilihan raya.

Bab IPTA kena kompaun, insiden seperti ini perlu diberi perhatian lebih serius. Jika difikirkan bukan pertama kali sesebuah persembahan pentas mahupun konsert diadakan dalam IPTA. Sudah berzaman, pelbagai persembahan pentas dianjurkan. Tanyalah mana-mana alumni pasti mengakui pernah melalui pengalaman sama di kampus.

Beza kali ini adalah kuasa viral yang menyebabkan sesuatu rakaman video itu disalah erti hingga mengundang persepsi negatif dalam kalangan netizen. Dalam isu IPTA ini, pihak pengurusan IPTA atau IPTS (swasta) sendiri perlu lebih cakna dalam meluluskan sebarang persembahan pentas.

Tiada kompromi apabila insiden sama boleh berulang dan mengundang kontroversi. Jika difikirkan jumlah kompaun RM25,000 bukan kecil, apa yang dibimbangkan jika tindakan diambil pada mahasiswa yang terbabit secara langsung dalam video berkenaan. Gelap masa depan.

Begitu juga nilai RM10 juta yang perlu dibayar mengikut keputusan mahkamah pastinya membuatkan defendan tidak tidur lena. Dalam kehidupan zaman sekarang yang lebih digelar zaman digital, kos hidup makin mencanak dan membebankan.

Sedar atau tidak sebenarnya, Malaysia mempunyai ramai golongan miskin bandar yang meneruskan kelangsungan hidup di bandar besar. Masih banyak jawatan kosong yang hanya menawarkan gaji bawah RM3,000 dan paling menyedihkan, nasib pekerja kontrak bertaraf MySTEP yang makin kerap mendapat ‘permintaan’ daripada pelbagai kementerian dan agensi kerajaan dengan tawaran RM2,100 sebulan.

Biarpun dihimpit kehidupan miskin bandar, amalan bersedekah jangan dilupakan. Bersedekah sekadar termampu atau paling tidak masuk RM1 dalam tabung masjid. Keberkatan setiap rezeki itu sangat penting apabila bersedekah dengan niat membantu orang lain.

Insha Allah, moga Allah membuka pintu rezeki kita semua seluas langit dan lautan.

Artikel ini ditulis oleh Elrafaei Sapi merupakan perunding media dari Kafebuzz Media, penganalisis hiburan, pengamal media profesional yang berpengalaman luas dalam bidang kewartawanan selama 20 tahun, pernah memenangi pelbagai anugerah kewartawanan dan juga Pengasas serta Editor Pengurusan portal berita Kafebuzz.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *