Coldplay punya pasal, tempahan penginapan pun naik mendadak
2 min read
Meskipun kumpulan rock terkenal Coldplay akan tiba di Kota Singa pada awal tahun depan untuk konsert jelajah mereka tapi impak terhadap industri pelancongan negara itu sudah berlaku.
Platform pelancongan digital, Agoda merekodkan peningkatan sebanyak 8.7 kali dalam carian untuk penginapan di Singapura sempena siri konsert Coldplay yang dijadualkan pada Januari 2024. Lonjakan ini didorong terutamanya oleh negara jiran, Malaysia dan Indonesia.
Berdasarkan data carian Agoda, Singapura juga boleh menjangkakan ketibaan lebih ramai pelancong dari Hong Kong, Thailand, Amerika Syarikat, Australia, Vietnam, India, Filipina dan banyak lagi pasaran lain.
Peningkatan yang ketara ini sejajar dengan penjualan tiket untuk siri konsert Coldplay yang berlangsung selama 6 hari yang sangat dinanti-nantikan. Ini menunjukkan pengaruh muzik merupakan satu faktor pendorong pelancongan yang utama. Merujuk enam pertunjukan, Singapura akan menjadi negara persinggahan utama di Asia bagi siri konsert Coldplay, Music of the Spheres World Tour.

Naib Presiden Bersekutu Serantau Asia Tenggara di Agoda, Enric Casals berkata, muzik mencetuskan inspirasi dan keterujaan yang hebat, dan peminat muzik tegar sesungguhnya sangat luar biasa kerana mereka sanggup melakukan perjalanan yang jauh demi menyaksikan aksi artis kegemaran mereka secara langsung.
“Peningkatan tempahan penginapan ini adalah bukti yang tidak dapat dinafikan bagi tarikan yang dibawakan oleh pengalaman muzik secara langsung, dan pengaruhnya yang besar terhadap perancangan untuk melakukan perjalanan,” katanya dalam satu kenyataan media.
Tambahnya, walaupun terdapat peningkatan yang mendadak dalam tempahan dan carian tempat penginapan di Singapura, masih banyak lagi tawaran yang boleh didapati di Agoda, dengan banyak lagi hotel tersedia untuk tempahan pada tempoh tersebut.
Para pelancong boleh menikmati diskaun tambahan apabila menggabungkan pembelian tiket penerbangan dan penginapan untuk perjalanan ke Singapura dan serata dunia. Ini juga akan membantu pelancong meneroka dunia dengan harga lebih murah.
- Kafebuzz.my
Foto: Annaleemedia

