Bkay Nair perjuang Sari menerusi World Saree Day Malaysia, galak generasi muda mencintai dan menghargai seni serta budaya pelbagai kaum
3 min read
Sari melambangkan keindahan suatu budaya.
Lazim sari dipakai oleh masyarakat India ketika musim perayaan mahupun acara keramaian kini berbeza apabila pemakaian pakaian tradisi ini juga semakin dilupakan dan dimodenkan.
Senario itu didedahkan selebriti Bkay Nair yang bertindak memperjuangkan pemakaian Sari dalam kalangan masyarakat menerusi program World Saree Day Malaysia (WSDM).
“Malaysia adalah sebuah negara berbilang budaya,etnik, kaum dan bangsa. Oleh Itu, WSDM berhasrat untuk membawa impak sosial kepada masyarakat dengan menggalakkan generasi muda untuk terus mencintai dan menghargai seni dan budaya pelbagai kaum di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media.

Bkay yang bertindak sebagai Pengarah World Saree Day berkata, WSDM menganjurkan satu program amal seni dan budaya besama Persatuan Sindrom Down Malaysia (PSDM) yang diadakan di Dewan Tun Abdul Razak, Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur pada 19 Mac lalu.
“Program amal ini disokong oleh Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) dan Suruhanjaya Tinggi India dengan objektif untuk memberi kesedaran kepada orang ramai dan mendidik mereka tentang keunikan Sari serta menyalurkan sumbangan kepada PDSM bagi menampung perbelanjaan mereka.
“Acara ini dihadiri Pesuruhjaya Tinggi India, Bommireddy Narasimha Reddy. Rumah anak yatim dan kanak-kanak daripada Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Mary, Pertubuhan Kebajikan Kanak-Kanak Istimewa Lagenda dan Pertubuhan Kebajikan Lindungan Ikhlas turut menghadiri program ini dalam semangat mempelajari warisan budaya memakaian Sari,” katanya.

Jelasnya, program kali ini mempamerkan lebih daripada 60 Sari pelbagai warna dan gaya dalam pertunjukan fesyen dengan penyertaan 10 model berpengalaman dari PDSM yang secara tidak langsung memberi peluang kepada komuniti sindrom down meningkatkan pembangunan diri golongan istimewa itu.
“Tarian Khatak tradisional yang unik juga dipersembahkan oleh Pusat Kebudayaan India Netaji Subhash Chandra Bose (NSCBICC) di mana para penari menceritakan kisah melalui mata dan ekspresi mereka.
“Selain itu, terdapat pelbagai jenis Sari di seluruh India dimana bahan, reka bentuk, dan gaya, yang dipakai adalah berlainan mengikut kesesuain majlis tersubut. Kelab Bharat Kuala Lumpur juga mempamerkan 30 jenis Sari berbeza dan gaya lilitan di 30 negeri (India selatan ke utara) sebagai cara untuk mendidik orang ramai tentang keunikan dan fakta menarik tentang Sari.
“Kami memilih untuk mendidik tentang warisan budaya Sari kerana terdapat banyak fakta menarik mengenainya, salah satunya ialah terdapat pelbagai jenis Sari, bahan, dan tekstil di seluruh India, dan terdapat pelbagai cara pemakaiannya. Ia telah direkodkan bahawa terdapat sejumlah 108 cara memakai Sari yang menjadikannya satu pakaian yang unik,” katanya.

Bkay Nair sebelum ini aktif berlakon juga merupakan Pengarah Bkay Nair Resources (BNR), sebuah syarikat penyediaan latihan dan acara yang melatih orang ramai secara peribadi untuk menjadi usahawan berjaya, dalam aspek komunikasi dan pembangunan kerjaya.
Pengalaman melibatkan diri dalam pelbagai acara dan program khidmat sosial untuk wanita dan kanak-kanak yang memerlukan melalui Soroptimist International Ampang dan Sedunia Hari Hijab Antarabangsa memberi inspirasi kepada Bkay untuk menganjurkan program amal berkenaan.
“WSDM akan terus berusaha untuk mengekalkan kepelbagaian budaya pelbagai kaum di Malaysia, serta menggalakkan orang ramai memakai pakaian tradisional masing-masing bagi memupuk perpaduan antara pelbagai kaum di samping memupuk semangat cinta dan hormat-menghormati serta budaya pakaian tradisional india iaitu Sari dalam kalangan generasi muda tidak dilupakan,” katanya.

Tambahnya, PSDM merupakan pertubuhan bukan untung yang ditubuhkan pada tahun 2001 mempunyai sukarelawan kebajikan yang menjaga pembangunan dan memperjuangkan hak individu Sindrom Down (SD) di seluruh Malaysia melalui perspektif kesihatan, kebajikan, pendidikan, latihan kerjaya vokasional, dan pekerjaan.
“Sumbangan yang diberikan oleh WDSM kepada PSDM adalah untuk membantu mendapatkan peralatan tambahan, perbelanjaan latihan kerjaya vokasional, dan peralatan bagi membantu ahli persatuan menjadi usahawan yang berdikari dan berjaya dalam masa terdekat,” katanya.

- Kafebuzz.my

