Music Malaysia gabungan 15 persatuan muzik, tangani isu industri bersama
2 min read
Sebanyak 15 persatuan berkaitan industrI muzik Malaysia bekerjasama menubuhkan satu majlis atau gabungan dikenali sebagai Music Malaysia mewakili semua sektor ekosistem industri muzik tanah air.
Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Datuk Freddie Fernandez merangkap Pengerusi Music Malaysia berkata, gabungan ini akan menjadi suara industri muzik tempatan dalam segala isu industri khususnya penentuan dasar kerajaan tentang aktiviti yang dijalankan dalam industri.
“Ia termasuk hal-hal berkaitan cukai, peraturan tentang penganjuran konsert, penerbitan dan rakaman muzik, hak cipta, pendidikan, kebajikan penggiat muzik dan lain-lain perkara,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, setakat ini sebanyak 15 persatuan sudah menyertai Music Malaysia. Selain KARYAWAN, antara persatuan lain yang menjadi ahli Music Malaysia adalah pesatuan penganjur konsert, persatuan pemuzik
komposer dan artis, persatuan pendidikan muzik, persatuan artis Cina dan India, persatuan penggiat seni dari Sabah dan Sarawak serta beberapa persatuan dari negeri-negeri dalam Semenanjung Malaysia.
“Kami telah pun mendapat kelulusan pendaftaran rasmi dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada September 2021 tetapi hanya mulakan aktiviti sekarang kerana suasana politik dalam negara mulai lebih stabil dengan pelantikan Perdana Menteri Ke-10 serta barisan kabinet yang sedang bergiat aktif untuk membangunkan negara.
“Kami nampak keinginan kerajaan untuk membetulkan keadaan dalam industri muzik dan menaruh harapan tinggi bahawa segala permasalahan dalam industri muzik akan diberikan perhatian penuh
oleh kerajaan, khususnya kementerian-kementerian yang berkaitan dengan muzik,” jelasnya.

Ujarnya, antara isu yang sedang melanda industri muzik sekarang ialah masalah cukai tinggi ke atas konsert dan hiburan, peraturan tentang konsert, masalah royalti yang belum selesai walaupun sudah wujud lebih 20 tahun, peluang pekerjaan untuk artis, slot radio dan televisyen serta kebajikan penggiat
muzik tempatan.
“Satu majlis pelancaran rasmi akan diadakan pada Mac ini tetapi sebelum itu Music Malaysia sudah mulakan rancangan untuk menangani segala permasalahan dalam industri demi membina satu industri yang lebih maju dan mampu memberi masa depan yang cerah dari penggiat muzik, khususnya daripada generasi baru.
“Kami juga sedang memproses permohonan beberapa persatuan/kelab peringkat negeri dan nasional untuk bergabung dalam Music Malaysia dan bergerak dalam satu nada bagi mencapai misi dan visi memartabatkan industri muzik negara,” katanya.
Persatuan-persatuan yang menjadi ahli Music Malaysia terdiri daripada KARYAWAN, Persatuan Armada Anak Seni Sarawak (ARAS), Persatuan Konsortium Industri Rakaman Malaysia (IRAMA), Persatuan Penyanyi dan Pelakon India Malaysia, Persatuan Komposer dan Pembikin Video Muzik Sabah (SCORE), Persatuan Dikir Barat Kelantan (PENDIKIR), Persatuan Penggiat Festival Antarabangsa (ALIFE), Persatuan Pendidikan Muzik Malaysia Baru (MAME), Persatuan Pemuzik Pulau Pinang, Persatuan Pemuzik Negeri Kedah, Persatuan Artis Cina Malaysia (AMCA), Persatuan Pemuzik Malaysia, Pertubuhan Konsortium Seni Negara (KONSEN), Persatuan Ejen dan Penganjur Hiburan Artis, Persatuan Pengusaha Restoran, Bar dan Pusat Hiburan Malaysia.
- Kafebuzz.my

