03/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

DIA Fest 2023 promosi hasil karya pelajar, wujud jaringan intelektual

3 min read

Buat julung kali, acara Digital & Imaging Arts Festival 2023 (DIA Fest 2023) dianjurkan sebagai usaha mempromosikan hasil karya pelajar kepada khalayak.

Menariknya, penganjur iaitu Pengajian Seni Digital dan Imejan dengan kerjasama Bidang Pengurusan Industri Kreatif di bawah Pengajian Seni Liberal menyatukan bidang-bidang pengajian dan program di bawah pengajian Seni Reka Grafik, Teknologi Percetakan, Fotomedia Kreatif, Filem dan Teknologi Kandungan Kreatif dalam acara ini.

Kesemua bidang pengajian ini bernaung di bawah satu bumbung dikenali sebagai Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK), Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang menggabungkan 3 fakulti iaitu Fakulti Filem, Teater dan Animasi; Fakulti Muzik dan Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka.

Ketua Pengajian Seni Digital dan Imejan, Ts Dr Mohd Erman Maharam berkata, sinergi ini tidak akan menjadi kenyataan tanpa kolaborasi dan semangat yang tinggi pensyarah dan pelajar serta sokongan alumni yang kukuh.

“Strategi yang signifikan dan membabitkan jalinan kolaborasi ini pastinya akan diperhalusi menjadi satu model yang bersifat jangka panjang yang menguntungkan semua pemegang taruh.

“Selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) iaitu menambah baik sistem pendidikan tinggi dan berhasrat membangunkan bakat terpelajar dipacu nilai, yang akan memberikan sumbangan kepada pembangunan negara,” katanya dalam satu kenyataan media.

DIA Fest 2023 terbuka kepada umum.

Tambahnya, DIA Fest 2023 tekad memasarkan dan mempromosikan hasil karya pelajar kepada umum untuk mewujudkan jaringan intelektual antara pensyarah, pelajar, alumni, industri dan komuniti.

Bagi Pengarah Projek DIA Fest 2023, Azri Abu Hassan, program ini dianjurkan selaras dengan Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN) dalam menjadikan industri kreatif negara lebih berdaya saing dan dinamik untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dan memartabatkan budaya negara bangsa.

Antara karya alumni yang boleh diangkat dan dibanggakan ialah Prebet Sapu karya Muzzamer Rahman yang merupakan alumni KPSK yang pernah mewakili Malaysia bagi kategori Filem Cereka Antarabangsa Terbaik pada Anugerah Academy Ke-94 di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Timbalan Pengarah Projek, Andrialis Abdul Rahman pula menyifatkan DIA Fest 2023 bukan sahaja diperkenalkan kepada pihak industri, malah mampu dijadikan pemangkin buat pelajar di peringkat sekolah rendah dan menengah untuk mengenali bidang yang ada di bawah pusat Pengajian Seni Digital dan Imejan.

Begitu juga, Ketua Pengajian Seni Liberal, Dr Ahmad Kamal Basyah Sallehuddin berpandangan kolaborasi kali ini merupakan satu manifestasi sinergi dalam usaha untuk mempromosikan dan memperkenalkan program-program akademik setiap pengajian di bawah KPSK.

“Perancangan yang sistematik diperlukan bagi mencapai objektif yang diingini dan sekaligus satu acara terhasil daripada kolaborasi ini. Setiap bidang mempunyai kekuatan tersendiri dan festival ini membuktikan bahawa kesemua bidang saling memerlukan di antara satu sama lain,” katanya.

Antara aktiviti yang akan berlangsung sepanjang DIA Fest 2023 adalah pameran karya pelajar tahun akhir, diskusi, tayangan filem pendek dan perkongsian ilmu bersama pihak industri yang juga diberi tanggungjawab menilai kesemua hasil akhir pelajar. Barisan penilai industri ini terdiri daripada mantan Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Kamil Othman; Penyunting filem, Isazaly Isa; Pengarah filem dan alumni KPSK, Putri Purnama.

Karya bidang Fotomedia Kreatif pula dinilai Bazuki Muhammad yang merupakan bekas wartawan Reuters dan Penyunting Foto NSTP manakala Bidang Teknologi Percetakan menjemput Nurul Husna Azmi yang merupakan Pengurus Pembangunan Perniagaan, Pembungkusan Ultimate Print Sdn Bhd. Panel penilai bidang Seni Reka Grafik ialah Samsiah Jendol (Pengasas Little Syam) dan pensyarah Seni Visual, Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Mohamad Zaky Khairuddin menilai karya pelajar bidang Animasi.

DIA Fest 2023 akan diadakan selama dua hari bermula 11 Februari ini bertempat di Dewan Berlian, UiTM Puncak Alam, Selangor dari 8 pagi hingga 5 petang.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *