03/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

“Masa tu muka bengkak habis, kepala bocor… hidung patah” – Pelakon Atira Karma mahu kisah hidupnya jadi pengajaran pada wanita lain

3 min read

Isu poligami menjadi topik panas kebelakangan ini apatah lagi ia membabitkan selebriti.

Tambah panas individu yang menjadi isteri kedua dituduh sebagai perampas atau ‘penyondol’ suami orang makin menarik perhatian netizen berkongsi pandangan masing-masing. Ada bersetuju, ada pula meluahkan rasa marah meluap-luap.

Namun, di sebalik isu dua wanita berebut seorang lelaki, satu lagi isu serius tapi kurang diberi pembelaan sewajarnya ialah kes isteri didera suami.

Pengalaman hitam menjadi mangsa dera suami pernah dilalui pelakon baharu, Atira Karma atau lebih mesra disapa Tira yang terpaksa menanggung penderitaan sebagai isteri.

“Dulu Tira pernah berkahwin tetapi apabila didera dan dipukul bekas suami selama 6 tahun, sampai sekarang masih trauma. Masa tu muka bengkak habis, kepala bocor… hidung patah,” katanya kepada Kafebuzz.

Wajah sebenar Tira selepas menjadi mangsa dera suami. (Foto: Atira Karma)

Tambahnya, pengalamannya dipukul bekas suami bukan perkara mudah untuk dilupakan begitu saja biarpun sudah berpisah dan membawa haluan hidup masing-masing.

“Tira pernah kena seret atas jalan, kena bantai dengan kerusi kayu. Macam-macam lagi seksaan Tira lalui sepanjang tempoh berkahwin.

“Memang seksa hidup berumahtangga pada masa itu tapi masa tu umur masih muda, takut nak buat keputusan. Akhirnya pada tahun 2018 dengan sokongan keluarga, Tira tuntut cerai,” katanya.

Pada usia 26 tahun kini, Tira mengakui dia serik untuk percaya pada lelaki buat masa ini apatah lagi mencari jodoh semula.

“Sekarang Tira cuma fokus pada karier dan masa depan sendiri. Tira terbabit dalam bidang lakonan sejak 6 tahun lalu dan selain berlakon, Tira juga mengacara dan menyanyi,” katanya.

Tira mahu mengasah bakat lakonan menerusi drama TV dan filem.

Sebelum ini Tira pernah membintangi pelbagai drama TV antaranya The Pak Mat Clan dan Wanita Milik Tuan Putra di TV3 manakala Kasyaf Elena terbitan MIG Pictures arahan Amor Rizan bersiaran di Awesome TV. Tidak ketinggalan, Tira membintangi filem terbaharu berjudul The Experts, bergandingan dengan Remy Ishak.

“Dalam drama The Pak Mat Clan misalnya, Tira membawa watak sebagai Nora Tiger iaitu seorang jurulatih gimnasium yang psiko dan suka mendera pelanggan. Dia mempunyai kisah silam dan bergaduh dengan watak utama Sally The Twister Master.

“Dalam drama komedi ni, Nora Tiger mendera suami kepada Sally iaitu Pak Mat ketika berlatih Muay Thai,” katanya.

Tira pernah mencuba nasib ketika hadir pada sesi uji bakat pada program Ekspresi@FINAS. (Foto: Kafebuzz)

Tira yang juga merupakan artis di bawah naungan MIG Pictures turut menyimpan cita-cita mahu menjadi produser drama atau filem suatu hari nanti.

“Tira bercita-cita untuk memiliki sebuah syarikat produksi sendiri. Tira sebenarnya ada Ijazah Sarjana Muda Pengarahan Filem dari Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Perdana.

“Meskipun saya ada degree menjadi seorang pengarah filem tetapi saya lebih berminat jadi produser,” katanya.

Tira bercita-cita mahu menjadi seorang produser. (Foto: Atira Karma)

Akuinya, berlakon dapat membawa dirinya keluar dari dunia realiti yang pernah menjadi mimpi ngeri sebagai isteri.

“Jika pelakon tempatan, Tira minat Zul Ariffin. Kalau Tira dapat berlakon dengan dia pasti jantung Tira berdegup selaju 180 kilometer sejam manakala pelakon wanita, Tira minat Amyra Rosli,” katanya.

Tira serik percaya pada lelaki. (Foto: Kafebuzz)

Bangkit semula membina keyakinan diri untuk berjaya, Tira berharap kisah hitam hidupnya menjadi pengajaran pada wanita lain agar tidak senasib dengannya.

“Nasihat Tira, jangan mudah percaya dengan janji atau sifat lelaki sebelum kahwin sebab lepas kahwin, semuanya tak sama.

“Lebih baik fokus untuk memajukan diri daripada sibuk mencari cinta sebab cinta dan perkahwinan itu tidak menjamin kehidupan yang bahagia pun. Fokus pada membangun dan memajukan diri supaya kaum wanita lebih berjaya dan tak akan mudah dipijak oleh sesiapa,” katanya.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *