Majoriti rakyat Malaysia hanya bertahan 3 bulan duit simpanan, berjoli setiap bulan
3 min read
Tahun 2023 dijangka dunia akan berdepan kemelesetan ekonomi dan inflasi yang berterusan.
Read more: Majoriti rakyat Malaysia hanya bertahan 3 bulan duit simpanan, berjoli setiap bulanDalam membuat persediaan, apa yang membimbangkan tahap kewangan rakyat Malaysia berada pada paras berbahaya. Data kajian RinggitPlus Malaysian Financial Literacy Survey (RMFLS) 2022 menunjukkan realiti keadaan kewangan semasa rakyat iaitu simpanan semakin berkurangan, isu aliran tunai, dan trend lain yang membimbangkan.
Semua lapisan masyarakat kini berdepan cabaran kewangan yang parah menyebabkan mereka terdedah kepada kejutan kewangan, akibat pelbagai bantuan kewangan telah mengurangkan kesan ke atas mereka pada tahun 2020 dan 2021.
Seramai 70 peratus daripada responden mengatakan mereka menyimpan kurang daripada RM500 sebulan atau tidak menyimpan langsung. Ini merupakan hasil kajian RMFLS yang paling teruk dalam tempoh 5 tahun.
Sementara itu, bilangan rakyat Malaysia yang mampu menyimpan lebih daripada RM1,500 sebulan juga menurun dengan ketara, daripada 20 peratus pada tahun 2020 kepada 5 peratus pada tahun 2022, menandakan penurunan empat kali ganda lebih rendah.
Hasil kajian RMFLS 2022 menunjukkan lebih ramai rakyat Malaysia bergelut dengan jumlah simpanan berkurangan apabila 63 peratus responden mengatakan mereka hanya mampu bertahan selama 3 bulan atau kurang dengan hanya bergantung pada simpanan mereka (52 peratus pada tahun lalu). Trend yang sama juga dilihat apabila 55 peratus rakyat Malaysia membelanjakan keseluruhan atau lebih daripada apa yang mereka perolehi setiap bulan (44 peratus tahun lalu), pada asasnya bergantung dari gaji ke gaji untuk sara hidup.
Akibat sikap kurang berjimat dan kos barangan yang kian meningkat, kajian menyerlahkan trend yang membimbangkan di mana lebih ramai pemegang kad kredit tidak dapat melangsaikan bayaran mereka sepenuhnya – hanya 55 peratus pada tahun 2022 berbanding 70 peratus pada tahun lepas.
Pemilihan pelepasan kewangan jangka pendek berbanding kestabilan kewangan jangka panjang
Berdepan cabaran aliran tunai dan simpanan, kajian menunjukkan rakyat Malaysia memilih penyelesaian kewangan jangka pendek daripada kestabilan kewangan jangka panjang. Seramai 66 peratus responden di atas umur 21 tahun mengatakan mereka akan memohon untuk pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) jika dibenarkan oleh pihak kerajaan.
Selain itu, tinjauan juga menunjukan 52 peratus daripada rakyat Malaysia di atas usia 18 tahun juga belum membuat sebarang pelaburan. Sementara itu, majoriti daripada mereka yang mempunyai pelaburan pula mempunyai selera risiko rendah, tetapi memilih untuk membuat pelaburan jangka masa sederhana yang tidak optimum – pilihan ini mungkin dipengaruhi cabaran kewangan semasa dan prospek ekonomi dunia.
Pengasas Bersama dan Pengarah RinggitPlus, Hann Liew berkata, pandemik COVID-19 meninggalkan kesan membimbangkan dan dapatan kajian yang dilakukan pada tahun ini menunjukkan rakyat Malaysia mempunyai cabaran kewangan yang ketara untuk dihadapi.
“Ini merupakan satu realiti pahit, bukan sahaja untuk rakyat, tetapi juga untuk pemain industri dan para penggubal dasar. Masyarakat kita menghadapi isu yang memerlukan penyelesaian jangka masa panjang, dan sokongan bersepadu yang berterusan daripada semua pihak. Kita tak boleh biarkan sesiapapun ketinggalan,” katanya.
Selaras dengan matlamat ini, RinggitPlus memperkenalkan bahagian baru dalam vertikal Savings dengan mengetengahkan pelbagai penyelesaian kewangan di pasaran untuk menggalakkan rakyat Malaysia menyimpan dan memperoleh pulangan terbaik dalam kelas. Pelbagai produk lain akan disenaraikan sepanjang tahun 2023, dan bahagian berkenaan juga mempunyai proses pendaftaran mudah melalui chatbot WhatsApp RinggitPlus.
Sebagai tanda komitmen menyediakan akses lebih baik terhadap inisiatif literasi dan pendidikan kewangan bagi rakyat Malaysia, RinggitPlus akan menawarkan kandungan dalam Bahasa Malaysia pada tahun 2023.
“Bahagian baru yang boleh didapati di vertikal Savings di RinggitPlus.com tiba pada masa yang tepat dengan mengetengahkan barisan produk serba baharu dalam industri. Ini akan membantu mereka yang sedang mengkaji dan membandingkan produk simpanan terbaik di pasaran. Sementara itu, kandungan kami dalam Bahasa Malaysia merupakan sebahagian daripada misi kami untuk meluaskan rangkaian perkhidmatan dalam pelbagai bahasa lain supaya dapat dimanfaatkan lebih ramai rakyat Malaysia,” katanya.
Literasi kewangan kekal sebagai langkah seterusnya untuk membantu rakyat menghadapi cabaran kewangan dan mengawal kesihatan kewangan mereka. Pada sambutan ulang tahun ke-5 RMFLS kali ini, kajian tahunan RMFLS terus menunjukkan kepentingan literasi kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia dan menyediakan data yang digunakan oleh pelbagai organisasi, badan pendidikan, dan sektor kerajaan untuk membantu rakyat mengawal kesihatan kewangan mereka.
- Kafebuzz.my

