25/05/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

[Nota Editor] U-Wei dan Sam Lim bangga berbahasa Melayu, anda pula bagaimana?

3 min read

Kehebatan U-Wei Haji Saari dalam gelanggang filem memang tidak perlu dipersoal.

Beliau bukan hanya pembikin filem yang mempunyai kreativiti tersendiri tetapi pembabitannya dalam pelbagai festival filem antarabangsa di seluruh dunia menjadikan namanya cukup gah dan disegani ramai.

Perkembangan terbaharu, satu dunia terpana aksi beliau bercakap bahasa Melayu pada Festival Filem Antarabangsa Moscow Ke-44.

U-Wei (kanan) ketika hadir pada Festival Filem Antarabangsa Moscow baru-baru ini. (Foto: Facebook – Rozan Harapan Mat Rasip)

Nyata kehadiran pengarah filem tersohor ini ke sana bukan hanya menjalankan tanggungjawab sebagai ketua juri pertandingan filem dokumentari tetapi usahanya mengangkat bahasa Melayu dalam sebuah acara berprestij di peringkat antarabangsa suatu yang dihormati dan dipuji.

Menariknya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut mengucapkan tahniah kepada U-Wei yang disifatkan sebagai satu penghormatan kepada dunia perfileman negara.

“Syabas kerana memperkasa dan mengantarabangsa bahasa Melayu dengan menyampaikan ucapan dan mengumumkan pemenang dalam bahasa Melayu di Moscow,” katanya dalam satu status di media sosial, baru-baru ini.

Ismail pada Mei lalu menggesa masyarakat di negara ini agar mempunyai jati diri dalam memartabatkan bahasa Melayu yang juga bahasa Kebangsaan.

Ujarnya, semua sektor perlu menggunakan bahasa Melayu dengan seluas-luasnya di semua jabatan dan agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta.

Malah, ketika Persidangan Ketua-Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia Ke-9 (HOMC9) kelmarin, Ismail juga menyatakan usaha memartabatkan bahasa Melayu di persada dunia merupakan salah satu fokus dalam Kerangka Dasar Luar Negeri iaitu Diplomasi Bahasa dan Kebudayaan serta urusan surat-menyurat menggunakan bahasa Melayu termasuk melibatkan urusan luar negara.

Selain aksi U-Wei itu, khalayak antarabangsa juga menonton seorang lagi rakyat Malaysia iaitu Sam Lim yang menyelitkan ucapan terima kasih dalam bahasa Melayu selepas dilantik sebagai Ahli Parlimen Tagney di Dewan Perwakilan Australia, baru-baru ini.

“Kepada semua saudara-saudara yang berada di Malaysia, Australia dan di seluruh pelosok dunia, terima kasih atas semua perhatian dan berkat yang telah anda sekian berikan kepada saya.

“Terima kasih atas semua dukungan dan bantuan anda semasa pilihan raya di Australia. Terima kasih semua,” katanya dalam satu video yang dikongsi menerusi akaun Facebooknya, Sam Lim MP.

Sam Lim bersama isteri hadir meraikan Hari Kebangsaan di Malaysia Hall Perth baru-baru ini. (Foto: Facebook – Sam Lim MP)

Tidak kira U-Wei mahupun Sam Lim, keduanya memainkan peranan cukup besar apabila berada di luar negara, membawa nama Malaysia dan paling penting berbangga untuk berbahasa Melayu.

Mungkin ada rakyat Malaysia terlupa Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menjelaskan bahawa bahasa Melayu yang dikenali juga sebagai bahasa Malaysia adalah bahasa rasmi yang tidak boleh dipertikai fungsi dan peranannya sebagai Bahasa Kebangsaan.

Justeru, tidak ada sebarang alasan apabila rakyat di negara tidak boleh berbahasa Melayu atau sengaja tidak mahu belajar memperbaiki kemahiran berbahasa Melayu. Jangan pinggirkan atau malu berbahasa Melayu di depan khalayak antabangsa sebaliknya merindui nasi lemak, roti canai dan teh tarik bila berada di perantauan.

Sesuai dengan suasana bulan kemerdekaan yang disambut sempena Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dan Hari Malaysia dirai pada 16 September setiap tahun, marilah kita semua bersama-sama kuatkan semangat cintakan bahasa Melayu.

Perlu kita ingat, belajar bahasa Melayu bukan hanya syarat lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetapi ia merupakan identiti Keluarga Malaysia yang berbilang bangsa dan agama hidup harmoni antara satu sama lain. Jika U-Wei dan Sam Lim berbangga cakap bahasa Melayu di luar negara, anda pula bagaimana?

Artikel ini ditulis oleh Elrafaei Sapi, Editor Pengurusan portal hiburan Kafebuzz yang juga pengarah filem dan perunding media profesional.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *