03/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

“Jika lengkap kita akan bayar dalam tempoh 3 hari” – Prof Dr Md Nasir Ibrahim

2 min read

Isu bayaran milestone Dana Kandungan Digital (DKD) masih menjadi persoalan pada segelintir penggiat seni.

Ada yang mendakwa Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) lambat buat kerja hingga produser terpaksa menunggu lama untuk mendapat bayaran secara berperingkat mengikut milestone.

“Progress dah buat, mesyuarat dah masuk, bahagian kewangan dah lulus… siapa yang tak sain lagi? ramai dah hilang kawan kerana hilang pertimbangan. Terlalu lama menunggu bayaran sehingga ada program berjadual terpaksa ditangguh kerana duit tak turun dari FINAS,” keluh seorang pengarah filem senior.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Prof Dr Md Nasir Ibrahim tampil memberi penjelasan dengan menyatakan FINAS akan membuat bayaran dalam tempoh 3 hari jika segala dokumen yang diterima lengkap.

“Jika lengkap kita akan bayar dalam tempoh 3 hari. Yang lambat kalau kita minta, dokumen tak lengkap… itu masalahnya. Supaya semua tahu, semua maklum, kita (FINAS) sekarang ini lebih sistematik dan dalam gerak kerja kita lebih pantas, memang kita tak perlu lambat pun kalau semua dah lengkap,” katanya pada Majlis Serahan Surat Setuju Terima (SST) Dana Khas Filem Pendek dan Dana Program TV/OTT di FINAS, Hulu Kelang, Selangor baru-baru ini.

Dr Md Nasir memberi penjelasan berhubung isu kelewatan pembayaran milestone DKD. (Foto: FINAS)

Jelasnya, kebiasaannya beliau tidak mempunyai masalah untuk sain sebaik menerima dokumen berkaitan dan kemudian bahagian kewangan akan membuat bayaran dalam tempoh 3 hari.

“Prosedurnya memang tiada masalah pun. Kalau mana-mana ada masalah lambat bayar atau lambat dapat bayaran, hubungi terus Fazli, tiada masalah,” katanya.

Dr Md Nasir juga mengingatkan kepada mana-mana produksi termasuk pelakon mahupun kru produksi yang tidak mendapat bayaran dalam tempoh lama, agar segera bertindak menghubungi FINAS.

“Mesti ada sesuatu yang tidak kena. Cepat-cepatlah hubungi FINAS untuk mendapatkan maklumat terkini tentang pembayaran atau apa saja melibatkan dana yang diterima,” katanya.

Dr Md Nasir (dua dari kiri) menyampaikan SST DKD Dana Khas Filem Pendek kepada salah seorang daripada 7 penerima sambil disaksikan Ahli Perbadanan FINAS, Dr Ahmad Ibrahim (tengah). (Foto: FINAS)

Pada majlis tersebut, Dr Md Nasir turut menyampaikan SST Dana Khas Filem Pendek kepada 7 penerima daripada 29 projek yang menerima jumlah dana keseluruhan RM794,000.

Mereka terdiri daripada Mohd Hairi Safwan dengan projek bertajuk Qarin, Lim Han Loong (Tajuk: Family Gathering), Lee Shi Min (Tajuk: Dad’s Suit), Syahnur Asyikin Kee Charles (Tajuk: Peace Land), Syazani Zikry Zainul Hakim (Tajuk: A Different View), Felix Elmer Anak Peter John Remek (Tajuk: Pak, Aman Nak Pergi Sekolah) dan Lenathannimalai Srinivasan (Tajuk: Gogu And The Memories of 7 Trees).

Bagi drama bersiri, Tok Guru sebanyak 13 episod pula menerima Dana Program TV/OTT akan bersiaran di RTM menerusi saluran TV2 mulai 31 Ogos ini.

(Dari kiri), Mohd Hairi menerima SST DKD Dana Khas Filem Pendek daripada Dr Md Nasir ditemani Dr Ahmad Ibrahim. (Foto: FINAS)
  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *