Pencapaian terbaik Ismail Sabri, KDNK Malaysia tertinggi di Asia Tenggara
2 min read
Pengenalan konsep Keluarga Malaysia merupakan antara pencapaian terbaik Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam tempoh setahun beliau menggalas tugas tersebut.
Konsep tersebut berjaya mewujudkan semangat perpaduan yang tinggi dalam kalangan masyarakat di negara ini dan paling penting, mengutamakan keluarga dalam diri setiap rakyat Malaysia.
Dalam temu bual sempena Inspirasi Setahun Keluarga Malaysia, beliau turut ditanya cabaran paling getir sebagai seorang Perdana Menteri selepas setahun menerajui Kerajaan.
Menurutnya, cabaran pertamanya ialah dari segi menstabilkan politik kerana kepentingan kestabilan politik berkaitan dengan kestabilan ekonomi.
“Apabila saya mengambil alih kerajaan pada ketika politik tidak stabil, kita menandatangani MOU bersama-sama pembangkang. Tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia, saya masuk pejabat pada hari kedua, tiga pemimpin pembangkang datang untuk berbincang mengenai MOU tersebut yang ditandatangani kemudian,” katanya dalam satu rakaman video yang dimuat naik di media sosialnya, Instagram @ismailsabri60 hari ini.
Tambahnya, cabaran seterusnya adalah pemulihan ekonomi selepas negara berdepan pandemik COVID-19.
“Kita buka semula semua sektor ekonomi yang telah ditutup selama 2 tahun. Bila kita buka semula, ianya bukan perkara mudah terutamanya melibatkan peniaga-peniaga kecil dan sebagainya.
“Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) menghadapi masalah dan kita beri pelbagai insentif untuk bantu mereka. Konflik Rusia-Ukraine yang berlaku secara tiba-tiba memberi kesan kepada agenda pemulihan ekonomi negara,” katanya.
Bagaimanapun, Ismail bersyukur kerana berkat hasil usaha Kerajaan, Bank Negara mengumumkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku kedua 2022, Malaysia adalah tertinggi di Asia Tenggara.
“Malah, KDNK kita mengatasi pencapaian negara-negara kuasa besar ekonomi yang lain seperti China, Jepun, Amerika, EU dan lain-lain negara,” katanya.
- Kafebuzz.my

