02/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

Kerajaan terus bantu penggiat seni, RIUH NAU! singgah Melaka

2 min read

Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) menyasarkan seramai 20,000 pengunjung ke Kembara RIUH Keluarga Malaysia edisi ketiga iaitu ‘RIUH NAU!’ yang berlangsung sejak semalam (5 Ogos) hingga esok (7 Ogos 2022) di Dataran Pahlawan, Melaka.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tan Sri Annuar Musa berkata, kerajaan mengiktiraf industri kreatif sebagai salah satu industri strategik yang berimpak tinggi dan diberi tumpuan khusus di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

“Kembara RIUH Keluarga Malaysia ke seluruh negara yang diterajui oleh K-KOMM melalui Kumpulan MyCreative Ventures (MyCreative) merupakan platform penyampaian maklumat mengenai inisiatif kerajaan dalam memacu industri ini, selain menggerakkan para penggiat seni untuk menjana pendapatan daripada hasil seni kreatif dan secara tidak langsung menyumbang kepada ekonomi negara.

“Menyedari pentingnya industri seni dan budaya kreatif dalam pembangunan negara, kerajaan komited untuk menyemarakkan semula industri ini ketika fasa peralihan ke endemik. Usaha membangunkan ekosistem kreatif tempatan dilaksanakan segera melalui jalinan strategik yang menggabungkan pencipta jenama, usahawan kreatif dan artis dengan komuniti setempat,” katanya dalam satu kenyataan media.

Annuar (tiga dari kanan) bersama Sulaiman (empat dari kanan) bersama-sama merasmikan acara RIUH NAU! yang diadakan di Dataran Pahlawan, Melaka bermula semalam. (Foto: K-KOMM)

Tambahnya, program RIUH yang sebelum ini hanya tertumpu di kawasan Lembah Klang melebarkan sayap ke Ayer Hitam, Johor dan Kota Kinabalu, Sabah pada tahun ini melalui siri Kembara RIUH Keluarga Malaysia dalam usaha membantu penggiat industri seni terutama yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan Kerajaan Negeri Melaka selaku tuan rumah yang bekerjasama dengan K-KOMM dalam penganjuran edisi RIUH NAU! kali ini.

“Insya-Allah RIUH NAU! bakal mendapat sambutan yang sangat baik daripada penggiat seni dan para pengunjung terutamanya dari Melaka dan negeri berhampiran. Kerajaan sentiasa prihatin terhadap kelangsungan industri kreatif negara,” katanya.

Annuar (tiga dari kanan) hadir pada Majlis Pelancaran RIUH NAU! di Dataran Pahlawan, Melaka malam tadi. (Foto: K-KOMM)

Ujarnya, sejak penubuhan MyCreative pada tahun 2012 sehingga kini, bantuan kewangan berbentuk pinjaman dan geran sebanyak RM447.7 juta telah memberi manfaat kepada seramai 949 penggiat dan usahawan industri kreatif.

“Selain itu, sebanyak RM10.93 juta juga telah disalurkan bagi tujuan pembangunan industri kreatif yang telah membantu lebih daripada 900 penggiat dan usahawan dari pelbagai dimensi industri kreatif termasuk filem, kandungan kreatif, muzik, seni persembahan, seni visual, sastera dan seni reka yang membolehkan penggiat serta pekerja di belakang tabir menjana pendapatan.

“Potensi industri ini perlu dioptimumkan sebaik-baiknya agar hasrat Kerajaan yang menyasarkan sumbangan 20 peratus industri kreatif tempatan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan anggaran RM31.9 bilion menjelang tahun 2025 dapat direalisasikan,” katanya.

Kembara RIUH Keluarga Malaysia diadakan ke seluruh negara diterajui K-KOMM melalui Kumpulan MyCreative Ventures (MyCreative). (Foto: K-KOMM)

Mini konsert RIUH NAU! yang diadakan malam tadi turut menarik perhatian ramai pengunjung untuk berhibur dengan artis popular iaitu Amy Search, kumpulan Ruffedge dan Mafidz.

Aksi Amy Search ketika membuat persembahan pada Majlis Pelancaran RIUH NAU! di Dataran Pahlawan, Melaka malam tadi. (Foto: K-KOMM)
  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *