03/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

16 selebriti popular wajah kempen Seikhlas Hati

3 min read

Rangkaian Televisyen Media Prima menerusi saluran TV3 dan TV9 melancarkan kempen Ramadan Raya 2022 bertemakan Seikhlas Hati pada 20 Mac lalu mengumumkan senarai program-program menarik yang disiarkan sepanjang Ramadan ini. 

TV3 dan TV9 meneruskan tradisi menyajikan program-program menarik merangkumi genre inspirasi & travelog, drama, bual bicara, gaya hidup dan hiburan. Penonton boleh membeli-belah dan membuat persiapan raya dengan tawaran hebat yang disediakan WOWSHOP. 

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Datuk Khairul Anwar Salleh berkata bagi menyemarakkan lagi kempen Seikhlas Hati, TV3 dan TV9 memperkenalkan 16 selebriti popular sebagai wajah kempen ini.

“Di TV3, Fedtri Yahya, Sharifah Rose, Fasha Sandha, Nelydia Senrose, Haqiem Rusli, Aina Abdul, Nabila Razali, Meerqeen, Redza Rosli, Raysha Rizrose, Hael Husaini dan Andi Bernadee terpilih sebagai wajah kempen Seikhlas Hati manakala untuk TV9, Datuk Rosyam Nor, Aprena Manrose, Mark Adam dan Kim Hassan tersenarai sebagai wajah untuk memeriahkan lagi kempen ini. Mereka turut menjayakan program-program istimewa yang akan disiarkan di bulan Ramadan dan Syawal nanti,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menerusi laman sesawang rasmi kempen Seikhlas Hati iaitu http://www.xtra.com.my/seikhlashati turut menyediakan koleksi e-Kad Seikhlas Hati yang menampilkan 16 wajah selebriti kempen ini yang boleh dimuat turun dan kongsi di sosial media. Penonton juga boleh mengikuti pelbagai artikel menarik dan tips Ramadan, resipi makanan serta restoran yang menyediakan buffet menarik sepanjang Ramadan, senarai program menarik Ramadan dan Raya di TV3 dan TV9, ucapan serta kata-kata mutiara daripada selebriti popular dan juga paparan menarik di sebalik penggambaran video bagi kempen Seikhlas Hati di laman sesawang tersebut. 

Antara program menarik yang wajib ditonton sepanjang Ramadan semestinya Jejak Rasul di TV3. Sertai pengembaraan masa Fedtri Yahya ke zaman Tanah Melayu di mana raja-raja Melayu dikuasai oleh imperialis Inggeris dan menyaksikan pemimpin alim ulama yang mengorbankan nyawa mereka demi mempertahankan kedaulatan serta maruah agama dan bangsa menerusi program Jejak Rasul: Ulama Pewaris Rasul ll bermula 1 April lalu, setiap Jumaat hingga Ahad, jam 6.30 petang. 

Program bual bicara, Sembang Sahur turut menemui penonton TV3 bermula April pada setiap Rabu dan Khamis, jam 11 malam menampilkan Aina Abdul dan Haqiem Rusli sebagai artis jemputan untuk berkongsi topik-topik menarik berkaitan dengan Ramadan dan Aidilfitri. 

Drama komedi lakonan Nabila Razali iaitu Mem & Bibik-Bibik mengisi slot Azalea, setiap Isnin hingga Khamis, jam 2 petang bermula 4 April lalu. Lakonan Sharifah Rose sebagai Daneena yang terpaksa berkahwin secara olok-olok demi menyembunyikan diri daripada rancangan jahat makciknya dalam drama bersiri ‘Do You Love Me, Captain?’ di slot Lestary bermula 13 April ini, setiap Rabu hingga Sabtu, jam 9 malam.

Gandingan mantap Fasha Sandha dan Nelydia Senrose dalam drama bersiri Khilaf Asmara akan disiarkan menerusi slot Samarinda TV3 bermula 18 April ini, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 10 malam.

Di TV9 pula, penonton boleh mengikuti perbincangan dan kupasan isu-isu semasa yang tular di media sosial dari perspektif agama Islam secara santai dalam program Sembang Viral Mega yang dihoskan Datuk Rosyam Nor bersama panel ustaz dan selebriti jemputan yang sudah menemui penonton TV9 bermula 28 Mac lalu, setiap Isnin, jam 9.30 malam. 

Gandingan Mark Adam dan Aprena Manrose membintangi drama bersiri 30 Hari Sebelum Raya mengisi slot Diandra sepanjang Ramadan ini bermula 29 Mac lalu, setiap Isnin hingga Khamis, jam 8.30 malam. 

Bersama Kim Hassan dan WOWSHOP dalam program istimewa siaran langsung yang menawarkan diskaun segera serta pelbagai tawaran pulangan tunai di platform perayaan gaya hidup sehenti WOW Seikhlas Hati untuk semua persiapan pra Ramadan dan Aidilfitri.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *