Fasa Endemik sebagai ‘exit strategy’ hidup bersama COVID-19
2 min read
Keputusan kerajaan untuk masuk ke fasa endemik bermula 1 April ini pastinya membawa berita gembira pada rakyat Malaysia untuk terus menjalani kehidupan normal seperti dulu.
Mengulas keputusan itu yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam, Khairy Jamaluddin berpandangan Hidup bersama COVID-19 atau ‘Living with COVID-19’ boleh diertikan sebagai hidup secara sihat dan selamat walaupun virus COVID-19 masih lagi berada dalam persekitaran kita.
“Fasa Peralihan Ke Endemik ini amat penting kerana ia adalah ‘exit strategy’ untuk membolehkan kita kembali semula kepada kehidupan yang hampir normal selepas lebih dua tahun mendepani COVID-19.
“Sehingga 7 Mac 2022, kadar vaksinasi lengkap bagi populasi dewasa di dalam negara ialah 98.7 peratus; manakala kadar vaksinasi dos penggalak bagi populasi dewasa ialah 64 peratus,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, kadar vaksinasi yang tinggi serta ciri Varian Omicron yang didapati lebih ringan terhadap mereka yang lengkap vaksinasi dan menerima dos penggalak merupakan antara faktor utama yang membantu Kerajaan memutuskan agar kita beransur-ansur melonggarkan sekatan yang dikenakan ke atas kehidupan seharian.
“Varian Omicron menyebabkan gejala dan komplikasi penyakit yang lebih ringan berbanding dengan varian Delta sebelumnya terutama kepada mereka yang mempunyai tahap imuniti yang tinggi terhadap virus SARS-CoV2 hasil daripada vaksinasi atau imuniti semulajadi selepas jangkitan.
“Kadar kematian semasa gelombang varian Omicron yang bermula pada Januari 2022 sehingga kini, menunjukkan kadar kematian yang jauh lebih rendah berbanding gelombang varian Delta yang berlaku pada penghujung Jun hingga Oktober 2021,” katanya.
Khairy selaku Menteri Kesihatan turut menjelaskan penggunaan katil khusus untuk kes COVID-19 iaitu katil bukan kritikal serta penggunaan katil ICU menunjukkan peningkatan sejak ME 3/2022 hingga ME 9/2022 tetapi masih pada tahap yang terkawal.
“Pada 8 Mac 2022, kadar penggunaan katil bukan kritikal untuk kes COVID-19, termasuk kes yang disyaki, adalah 69 peratus manakala kadar penggunaan katil ICU bagi kes COVID-19 adalah 42 peratus, dan kadar penggunaan ventilator untuk pesakit COVID-19 adalah 25 peratus,” katanya.
Ujarnya, walaupun berlaku peningkatan kes harian dan bilangan kemasukan ke hospital tetapi peningkatan ini adalah masih terkawal dan tidak mengganggu kapasiti serta penggunaan katil untuk kes-kes bukan COVID-19.
“Jika dilihat secara keseluruhan penggunaan katil bukan kritikal termasuk untuk kes COVID-19 dan bukan COVID-19 adalah 70 peratus manakala penggunaan keseluruhan katil ICU untuk kes COVID-19 dan bukan COVID-19 adalah 59 peratus.
“Ini adalah kesan ‘decoupling’ yang disebut dalam Sidang Media KKM sebelum ini di mana jika dibandingkan situasi varian Omicron (Februari-Mac 2022) dengan kemuncak varian Delta pada Ogos 2021, kenaikan secara mendadak bagi jumlah kes COVID-19 harian kini tidak diikuti dengan kenaikan mendadak bagi kemasukan ke hospital, penggunaan ICU, penggunaan alat bantuan pernafasan mahupun kes kematian disebabkan COVID-19.
- Kafebuzz.my

