RASA miliki segala resepi dan ramuan terbaik, imbau kenangan Ramli Sarip bersama Sweet Charity
4 min read
Sekian lama peminat menanti buah tangan terbaharu Papa Rock akhirnya RASA muncul.
Album yang disifatkan sebagai perjalanan muzik penghibur terkenal, Datuk Ramli Sarip ini disampaikan dengan penyatuan rasa antara paduan elemen muzik folk dan blues, rock dan pop bernuansakan alam Nusantara Melayu yang menjentik jiwa bersama bait-bait lirik penuh dengan metafora dan makna.
Sebagaimana setiap karya beliau yang penuh manifestasi dan penuh makna, album kali ini juga diterjemah daripada perasaan dan pemikiran peribadi terhadap hal-hal yang mencangkupi kehidupan yang dilaluinya pada setiap hari, pengamatan terhadap keadaan yang berlaku di sekeliling mahupun yang menyentuh masyarakat serta umat sejagat sehingga hubungan spiritual dengan Tuhan.
RASA ibarat sebuah cermin suaranya terhadap kehidupan dalam fasa kematangan yang bersifat lebih matang. Bercerita lanjut tentang RASA, penghibur lagenda yang cukup ikonik dengan gelaran Papa Rock ini mengakui album baharunya itu memiliki segala resepi dan ramuan terbaik yang pernah dihasilkannya sebelum ini.
“Apabila dapat menerbitkan album penuh dengan 10 buah lagu, ia memberikan satu kepuasan berbeza. Mencipta hala tuju dan mereka cipta konsep sangat menarik.
“Ia seperti mengimbau era penerbitan album bersama Sweet Charity. Setiap album ada warna, karakter dan semangatnya yang tersendiri.
“Sebetulnya, saya bukanlah orang yang gemar menghasilkan single dan kebetulan saya memiliki bahan-bahan lagu baharu yang cukup untuk merakamkan 10 lagu. Maka, terhasillah RASA,” katanya.

Tambahnya, pembikinan album RASA memuatkan 10 lagu menjadi lebih unik apabila penerbitannya dimulakan di Kuala Lumpur tetapi disiapkan sepenuhnya di Singapura selepas pandemik COVID-19 mula menyerang dunia pada tahun 2020.
Bersama band muzik pengiring Soul Journey iaitu Rozario Rasul (pengarah muzik dan keyboardist), Rizal Halim atau Ritz Metalasia (pemain gitar kedua), Din Safari (pemain bass), Tom Annuar (pemain dram) serta Allahyarham Fauzi Samin atau Aji (pemain gitar pertama), beliau sempat merakamkan tiga lagu iaitu Srikandi Zaman, Sentosa di Kubah Hayat dan Surat Cinta Kuala Lumpur.
Kembali ke Singapura, beliau menghabiskan tujuh lagu lagi bersama pemuzik terbaik Kota Singa seperti Addy Rasidi, Din Safari, Bani Hidir, Riduan Zalani dan Julian Lim.
“Antara tahun 2018 hingga 2019, lagu pertama yang saya rakam di Kuala Lumpur adalah lagu Srikandi Zaman yang mengisahkan empat wanita agung, di antaranya ialah Saidatina Khadijah Khuwallid R.A. Lirik nukilan Hartinah Ahmad.
“Lagu kedua adalah lagu Sentosa Di Kubah Hayat yang mana liriknya ditulis Arifin Arif dan lagu ketiga, Surat Cinta Kuala Lumpur yang juga lagu tema pelancaran untuk acara Kota Buku Dunia Kuala Lumpur 2020 (KLWBC2020) anjuran UNESCO yang diisytiharkan pada 23 April 2020. Ketiga lagu ini saya rakamkan di Kuala Lumpur,” katanya.

Cabaran COVID-19
Sambungnya, tatkala merancang untuk meneruskan pembikinan album ini, pandemik COVID-19 mula menyerang dunia sekaligus menjejaskan usaha ‘the living legend’ ini untuk menyiapkan RASA.
Ketika itu, Ramli dalam perjalanan dari Bandung, Indonesia menuju ke Kuala Lumpur tetapi kemudian beliau terpaksa pulang ke Singapura apabila situasi pandemik tersebut menjadi lebih teruk.
“Setibanya saya di Singapura, saya terpaksa menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari dan saya akui ia adalah tempoh yang benar-benar menyukarkan saya kerana tidak dapat bergerak ke mana-mana dan hanya terperap di rumah.
“Dari satu sisi, ia memberi kesempatan untuk saya mendapatkan lebih banyak ilham untuk menyiapkan album ini dan merakamkan tujuh buah lagi lagu dengan menggunakan khidmat pemuzik-pemuzik berkaliber di Singapura dan Malaysia,” katanya.
Jelasnya, pembikinan yang mengambil masa dihasilkan dengan penuh teliti dan kesabaran di Singapura memuatkan lagu Kekasihku, Ayah dan Ibu, Ronggeng Rakyat, Cinta Di Sebalik Musim, Nyanyian Sejagat, Irama Kasih dan Orang Tua Bersidi Sakti.
Ramli memilih untuk merakamkan semula Ayah dan Ibu kerana ia adalah sebuah lagu mencabar ciptaan dan nyanyian dicipta A Rahman yang dirakamkan sekitar 1940-an.
“Pada tahun 1981 pula, Allahyarham Sudirman Haji Arshad membuat rakaman semula lagu ini bersama EMI. Lagu ini dipilih sebagai mengenang Ayah dan Ibu yang telah lama meninggalkan kami. Anda kena nilai sendiri versi saya.
“Cinta Di Sebalik Musim adalah karya seorang komposer bernama T-Zi dan liriknya dihasilkan oleh S Amin Shahab. Awalnya, lagu ini tidak begitu menarik minat saya. Tetapi, nuansa Timur pada melodi lagu ini sangat menarik dan liriknya juga sangat puitis dan halus. Ia membuatkan saya tertarik dengan lagu ini.
“Tajuk awal lagu ini adalah Meranti Condong Timur tetapi kemudian ia diganti kepada Cinta Di Sebalik Musim kerana ia lebih sesuai dengan lagu ini,” katanya.

Ramli mengakui cabaran menyiapkan album ini ketika pandemik memberi suatu cabaran kerana melahirkan karya pada saat industri muzik dan hiburan tertekan dengan ketiadaan ‘live show’ membuatkan dirinya gundah.
Pada masa sama, beliau perlu mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan mereka mematuhi segala SOP yang ditetapkan. Momen paling menarik apabila Ramli dapat berkumpul bersama teman-teman pemuzik untuk menghasilkan lagu.
“Kita berkongsi idea, pengalaman dan rasa yang sama. Ia mencetuskan magis yang luar biasa dan apabila berkarya kita lupa tentang hal-hal yang lain.
“Kita kembali bersemangat untuk membuat yang terbaik dan ilham-ilham itu terus keluar mengalir hingga kita membiarkan diri kita berada pada puncak waktu itu.
“Malah, semasa di studio rakaman, ada suatu pengalaman unik yang saya lalui saat melontarkan suara. Perasaan ketika menyanyi sangat tenang merindui damai yang kita kecapi sebelum pandemik berlaku. Ianya sangat seronok dan seolah-olah ada dorongan semangat baru yang kuat untuk terus berkarya.
“Kerana itulah RASA kali ini mempunyai rasa dan jiwa yang berbeza. Harapan saya, album ini akan dapat membakar semangat nusantara dan sejagat untuk terus berkarya dalam apa juga suasana yang menghalang.
“Citarasa baru ini memberi sinar dan warna baharu dalam dunia seni. Cintailah alam dan berkasih sayanglah sesama ummah. Khusus untuk pencinta dan pejuang seni agar kita terus melahirkan karya baru,” katanya.

Sebagai catatan sejarah peribadi, RASA menjadi album pertama yang dihasilkan sepenuhnya di Singapura selepas album Bukan Kerana Nama di bawah naungan Warner Music Singapore pada tahun 1986. Seterusnya, album Perjalanan Hidup diambil alih Warner Music Malaysia sehingga tahun 1994.
Pada tahun 1997 selepas berakhirnya isu rambut panjang di Malaysia, beliau menerbitkan album Ramli Sarip ALIVE dan Syair Timur bersama Legend Music yang kemudian diambil alih oleh syarikat beliau sendiri iaitu Rasa Karya Sdn Bhd hingga hari ini.
- Kafebuzz.my
- Foto: Rasa Karya Sdn Bhd

