Prebet Sapu jelajah Bangalore, Toronto, Barcelona dan Amerika Syarikat
2 min read
Filem tempatan, Prebet Sapu atau judul dalam bahasa Inggeris iaitu Hail, Driver! dipilih untuk tayangan di festival dan acara antarabangsa pada Oktober dan November depan.
Karya sulung arahan Muzzamer Rahman ini yang dijayakan Amerul Affendi dan Mei Fen Lim sebagai pelakon utama akan menemui penonton di tayangan perdana Amerika Utara menerusi acara Toronto Reel Asian Film Festival ke-25, Kanada berlangsung pada 10 hingga 19 November nanti.
Sebelum itu, filem ini dipilih Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) ke Innovative International Film Festival ke-4, Bangalore, India yang diadakan pada 15 hingga 17 Oktober lalu.
Seterusnya, filem ini akan menjelajah ke Asian Film Festival Barcelona (Netpac Section) pada 27 Oktober ini hingga 7 November depan diikuti Curator’s Choice – National Museum Of Asian Art, di Smitshonian American Art Museum, Amerika Syarikat (12 hingga 28 November 2021).

Bersama penyertaan 4 festival filem antarabangsa, filem ini turut meraih pencapaian menerusi siri ‘Curator’s Choice’ yang juga menampilkan filem-filem pengarah Asia seperti Hong Sangsoo, Sion Sono dan juga filem debut dari bakat baru Asia.
Filem ini mengisahkan kehidupan yang dihadapi anak muda berbeza latar belakang di Kuala Lumpur pada zaman kini. Dipaparkan dalam versi hitam putih ini dijayakan penampilan istimewa Bront Palarae, Sharifah Amani, Nam Ron, Roslan Madun, Chew Kin Wah, Nadiya Nisaa, Megat Shahrizal, Jay Iswazir, Anas Ridzuan, Atoi Tohet dan Shah Kimin. Prebet Sapu diterbitkan Bebbra Mailin dan Azharul Azmir Kamarulzaman.

Prebet Sapu yang pernah ditayangkan di Jogja-NETPAC Asian Film Festival dan Far East Udine Film Festival mendapat pelbagai maklum balas positif daripada penonton dan pengkritik filem.
Filem terbitan Le Mediator Studio, Kristal Azmir Sdn Bhd dan Konda Kondi Studio akan menemui penonton tempatan di pawagam seluruh Malaysia pada 16 Disember 2021.
Maklumat lanjut tentang Prebet Sapu boleh diperoleh di https://linktr.ee/prebetsapu.
- Kafebuzz.my

