Nadeera Zaini kini Panah
1 min read
Nadeera Zaini muncul single terbaharu berjudul Panah.
Single bekas juara program realiti Lagu Cinta Kita musim Ke-2 ini dilancarkan pada 1 Oktober lalu. Ini merupakan single keempat buat Nadeera dan gubahan lirik Fedtri Yahya dan dirinya sendiri serta sentuhan komposer terkenal tanah air iaitu Sharon Paul.
Nadeera yang memulakan langkah pertama beliau dalam industri muzik dan hiburan ini melalui rancangan realiti TV Vokal Bukan Sekadar Rupa musim ke-2 (2012) dan menyertai Mentor Legend pada 2014 merupakan protégé kepada Datuk Zainal Abidin.
Atas usaha keras dan semangat yang tidak pernah berputus asa, nasib kian menyebelahinya apabila berjaya mara ke final dan menang dalam rancangan realiti TV Lagu Cinta Kita musim ke-2 dengan pasangan duet, Khareez Kasbullah.

Seperti dikatakan Colin Powell: “Tidak ada rahsia untuk berjaya. Ini adalah hasil dari usaha kerja keras dan belajar dari kegagalan”, lagu Panah akhirnya terpilih menjadi salah satu OST untuk drama Kisah Cinta Kita hasil karya A. Aida Production untuk slot Akasia (TV3) menjelang November depan.
Panah mengisahkan seorang gadis dipermainkan teman lelaki yang membuatkannya patah hati. Bak kata pepatah, cinta sejati dilihat dalam tindakan bukan hanya melalui kata-kata.
Oleh itu dalam korus tersebut menyatakan bahawa dia menyedari itu adalah cinta palsu dan tidak mahu terus hanyut dalam jerat percintaan lagi.
Lagu edaran Werkit Records dan Alternate Records ini dilancarkan di semua platform digital secara serentak mulai 1 Oktober lalu di Spotify, Apple Music, Itunes, KKBOX, Deezer, Joox dan Youtube Music.
Lirik Video Rasmi Panah juga boleh di tonton di laman YouTube Alternate Records & Talents.

- Kafebuzz.my

