Anugerah MeleTOP Era (AME 2021) perkenal 3 kategori baharu
1 min read
Anugerah MeleTOP Era atau AME 2021 kembali buat tahun kelapan bagi meraikan karya dan personaliti paling menyerlah sepanjang tahun 2020 merangkumi bidang muzik, radio, televisyen, filem dan digital.
AME 2021 dengan tagline ‘Yang Fresh, Yang Legend’ dijadualkan bersiaran secara langsung pada 30 Januari 2022, jam 9 malam secara eksklusif di saluran Astro Ria (104) atau boleh distrim menerusi perkhidmatan Astro Go dan On Demand. Istimewa buat pelanggan Astro yang memiliki dekoder ‘Ultra Box’, siaran AME 2021 juga akan disiarkan dalam format resolusi kualiti 4K UHD.
Pengacara versatil, Nabil Ahmad dan Jihan Muse sekali lagi diberi kepercayaan mengendalikan pentas AME 2021 selaku hos utama.
Format penganjuran asal acara anugerah ini masih menyerahkan kuasa penuh kepada peminat untuk mengundi pemenang bagi kesemua 16 kategori utama yang masih dikekalkan.
Bagi edisi 2021, sebanyak tiga kategori baharu dipertandingkan iaitu ‘Personaliti TV MeleTOP’, ‘BBNU MeleTOP’ dan ‘Video MeleTOP’ manakala dua kategori sedia ada digugurkan daripada senarai utama iaitu ‘Hos MeleTOP’ dan ‘Fesyen MeleTOP’.
Undian fasa pertama untuk memilih calon ‘Top 5’ boleh dihantar mulai 5 Oktober 2021, jam 6 petang hingga 19 November 2021, jam 6 petang menerusi laman rasmi www.anugerahmeletopera.com.my dan aplikasi SYOK.

