03/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

“Beliau adalah orang yang tepat dan berpengalaman” – Rosyam Nor

3 min read

Beberapa nama mula jadi sebutan.

Siapa yang bakal menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Pengarah filem berpengalaman, Datuk Profesor Ts Dr Abdul Razak Mohaideen antara nama yang disebut sebagai calon CEO FINAS yang baharu.

Mantan Dekan Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA), Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu sememangnya mempunyai pengalaman luas bukan sahaja mengarah pelbagai genre filem tapi aspek pengurusan organisasi apabila menjadi pengasas pada penubuhan Fakulti Seni Persembahan yang kemudian ditukar kepada FiTA sejak 1998.

Berkelulusan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang pengurusan, beliau pernah memenangi pelbagai anugerah dan pencapaian dalam karier seni sama ada sebagai pembikin filem dan ahli akademik. Beliau pernah menghasilkan buku berkaitan perfileman dan melakukan pelbagai kajian serta penyelidikan.

Beliau pernah menang Anugerah Akademik Negara 2011 kategori Seni dan Kreativiti serta Anugerah Buku Negara Bagi Buku Umum Terbaik (Kategori Seni Visual) 2015 bagi Buku Berjudul ‘Pengarahan Filem’.

Ketika menjadi salah seorang Ahli Lembaga Pengarah FINAS pada masa ini, beliau berkongsi idea kepada penubuhan program Peningkatan Kapasiti Kreatif Malaysia (MyCAP) yang bertujuan mengumpul data semua pemain industri kreatif sebagai proses akreditasi untuk meningkatkan tahap profesionalisme.

Produser dan pelakon popular, Datuk Rosyam Nor menyatakan secara peribadi menyokong penuh Dr Abdul Razak sebagai CEO baharu FINAS.

“Secara peribadi saya menyokong sebab beliau memang dalam badan kerajaan duduk di UiTM yang mengurus intitusi besar. Beliau mempunyai pengalaman pengurusan dan pada masa sama, beliau juga adalah pemain industri.

“Beliau faham apa yang berlaku di luar dan walaupun pengalamannya dalam bidang akademik, beliau adalah orang yang tepat dan berpengalaman,” katanya ketika dihubungi Kafebuzz.

Dr Abdul Razak mempunyai pengalaman sebagai pembikin filem dan ahli akademik dalam bidang perfileman sejak 30 tahun lalu.

Jelasnya, ramai pemain industri aktif di lapangan tetapi Dr Abdul Razak mempunyai kelebihan dari aspek pengurusan organisasi.

“Jika nama beliau disebut sebagai bakal CEO FINAS, saya menyokong penuh. Apa yang saya harapkan, perubahan dan idea baharu yang di bawa CEO baharu tiada masalah tetapi idea sebelum ini perlu diteruskan.

“Jadi CEO FINAS pada masa kini lebih mencabar kerana dengan situasi pawagam tiada, saya minta agar FINAS harus melihat bukan hanya filem tapi perkembangan drama tanah air,” katanya.

Tambahnya, FINAS sebagai badan kerajaan yang bertanggungjawab mengeluarkan lesen untuk produksi menjalankan penggambaran perlu mengambil berat soal drama tempatan.

“Industri drama tiada sokongan mana-mana badan. Malah tiada orang tegur stesen TV.

“Sepatutnya, FINAS yang mempunyai unit penguatkuasaan bertindak lebih teguh. Saya berharap suatu hari nanti penguatkuasa FINAS juga ada pakaian seragam yang lebih digeruni,” katanya.

Dr Abdul Razak sudah mengarah sebanyak 42 filem cereka.

Bagi produser dan pengarah Datuk Yusof Haslam, pemilihan tokoh akademik yang mempunyai banyak pengalaman dalam bidang perfileman seperti Dr Abdul Razak sebagai teraju agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) yang baharu tidak menjadi masalah.

“Jika soal kelayakan, beliau memang layak kerana banyak buat filem dan tahu sepak terajang industri perfileman itu sendiri. Tiada masalah sekiranya beliau dipilih sebagai CEO baharu FINAS dan saya juga menyokong,” katanya.

Ujarnya kepada Kafebuzz, apa yang digembar-gemburkan sesetengah pihak mengenai isu tidak puas hati terhadap pengurusan FINAS perlu diselesaikan secara baik dengan cara bersemuka.

“Selesai cara berdepan, jangan guna media sosial untuk menghentam tetapi FINAS sendiri bersemuka dengan orang industri, begitu juga orang industri kalau tak dapat sesuatu jangan hentam balik.

“Di FINAS juga bukan mudah buat keputusan, dah masuk baru tahu. Sebagai cadangan, FINAS perlu bekerjasama dengan orang industri dan mereka juga kena faham FINAS tidak boleh buat keputusan segera,” katanya.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *