10/06/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

Pendekatan dakwah secara kasual, ambil tahu cara berinteraksi

2 min read

Suatu ketika dulu, mesej nasihat berunsur agama lebih terarah menerusi ceramah agama atau persembahan nasyid sama ada secara langsung, TV mahupun radio.

Bagaimanapun, kecanggihan teknologi pada masa kini membuka ruang lebih besar pada pendakwah dan sesiapa saja untuk menyebarkan mesej kebaikan di mana saja daripada pelbagai medium komunikasi dan antara paling popular ialah media sosial.

Pejuang lagu ketuhanan dan dakwah, Wan Syahrul Amry Wan Mansor berkata, ia suatu yang lumrah bagi manusia bersifat memilih pendakwah dan medium dakwah yang disampaikan.

“Ramai personaliti penyiaran kini mula mahir dalam membawa pendekatan dakwah secara kasual. Ianya terbukti apabila berjaya meraih jumlah perkongsian dan tontonan yang banyak daripada mesej tersebut,” katanya kepada Kafebuzz.

Wan Syahrul terus berdakwah menerusi ZAYAN.

Jelasnya, media sosial sudah dilihat sebagai keperluan penting pada dunia serba moden.

“Apa yang diperlukan adalah kepakaran dan kepekaan untuk adaptasi pada evolusi cara penyampaian mesej. Ambil tahu mengenai platform yang wujud sebanyak mungkin.

“Ambil tahu tentang cara berinteraksi dengan setiap platform yang memiliki cirinya yang berbeza-beza,” katanya.

Wan yang juga Pengurus Kandungan ZAYAN menambah, sunnah yang paling mudah untuk setiap muslim lakukan dalam dunia komunikasi hari ini ialah ‘sampaikan dariku walaupun satu ayat’.

“Mesej agama sering dilihat berat. Fitrah manusia sukar untuk menerima nasihat atau diperbetulkan perlakuan mereka. Dakwah seharusnya secara halus, tidak langsung dan bersifat santai. Itu dinamakan ikhlas dalam berdakwah. Baru mesejnya dapat diterima umum. Ini main peranan dalam sifat sebuah lagu nasihat atau nasyid,” katanya.

Meskipun mengetuai stesen radio Islamik moden di bawah jenama gah seperti Astro, Wan tetap bersemangat untuk berdakwah menerusi radio dan berharap industri nasyid terus meriah dan lagu-lagu baharu yang membawa mesej nasihat dan mengajak manusia ke arah kehidupan yang lebih baik.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *